KUALA LUMPUR, 18 Disember – Kerajaan akan memperkenalkan Dana Inovasi Media bernilai RM30 juta bagi menyokong wartawan dan organisasi media dalam memanfaatkan teknologi terkini, termasuk pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata dana itu bertujuan membantu organisasi media meningkatkan keupayaan teknologi tanpa menjejaskan peluang pekerjaan pengamal media.
"Masa depan pengamal media dalam era AI amat membimbangkan, namun kerajaan akan mengambil langkah proaktif untuk menghadapi cabaran tersebut.
"Usaha ini bertujuan menjamin kebebasan media serta memastikan industri media mampan dan berdaya tahan, terutamanya menghadapi perubahan global termasuk kesan media sosial," katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Fahmi menambah dalam menghadapi ekosistem digital yang semakin terbuka, kerajaan turut memperkukuh ketelusan serta penyampaian maklumat berasaskan fakta melalui saluran rasmi yang pantas dan boleh dipercayai.
Pada masa sama mempergiat usaha menangani penyebaran maklumat tidak sahih bagi memastikan integriti kewartawanan terus terpelihara serta keyakinan rakyat terhadap media arus perdana, kekal terjamin.
Jelas beliau, keperluan ini diperkukuh melalui pemerkasaan Kod Etika Wartawan Malaysia tahun 2024 yang memberi penekanan terhadap cabaran pelaporan digital, termasuk penularan berita palsu dan manipulasi kandungan berasaskan AI, selaras dengan prinsip verifikasi sumber, keadilan laporan serta pemisahan jelas antara fakta dan pandangan peribadi.