fb fb fb fb fb

Dakwaan aktiviti QMSB dilulus, dilesen BNM tidak benar

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 22 Januari- Sebarang dakwaan bahawa aktiviti Quantum Metal Sdn. Bhd (QMSB) diluluskan dan dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) secara langsung atau tidak, adalah tidak benar.

Menurut BNM, status QMSB sebagai institusi pelapor, tidak menjadikan produk dan aktiviti perniagaannya didaftarkan, diluluskan atau dilesenkan di bawah undang-undang ditadbir bank pusat.

"QMSB merupakan institusi pelapor di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

"Sebagai sebuah institusi pelapor, QMSB harus melaksanakan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan aktivitinya disalahgunakan.

"Ini termasuk dijadikan saluran bagi aktiviti pengubahan wang haram atau aktiviti pembiayaan keganasan.

"Tiada pihak yang boleh menyalahgunakan nama dan urusan surat-menyurat BNM, sehingga mengundang salah faham bahawa produk atau perkhidmatan mereka diluluskan bank pusat," menurut kenyataan itu.

Dakwaan mempunyai kaitan dengan BNM tidak seharusnya dijadikan satu-satunya pertimbangan bagi menentukan kesahihan perniagaan tersebut," menurut kenyataan itu.

BNM turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dalam membuat keputusan pelaburan.

Sebarang aktiviti kewangan disyaki dilakukan tanpa kebenaran, perlu dilaporkan kepada pihak penguat kuasa undang-undang berkaitan.

BNM juga menjelaskan, sebarang aliran masuk dana ke dalam negara, kecuali bagi peminjaman luar pesisir melebihi had tertentu diperuntukkan di bawah dasar pertukaran asing, tidak memerlukan pengesahan dan kelulusan daripada BNM terlebih dahulu.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM