fb fb fb fb fb

CUEPACS mengalu-alukan kerajaan beri bantuan khas Aidilfitri

Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat

SEREMBAN, 7 Mac - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengalu-alukan sekiranya kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian bantuan khas kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan, sempena sambutan Aidilfitri, April nanti.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata bantuan berkenaan yang kelaziman diberikan setiap tahun, wajar diteruskan sebagai tanda penghargaan kepada semua penjawat awam, sekali gus meringankan beban mereka dalam membuat persiapan menyambut perayaan itu.

"Jika kerajaan rasa ada keperluan untuk sedikit tambahan dalam bentuk bantuan perayaan seperti mana lazim diberikan setiap tahun dan tidak pernah tidak beri, mungkin tradisi sama boleh dikekalkan, kita alu-alukan, tetapi CUEPACS tidaklah mendesak.

“Kita berterima kasih untuk pemberian Bayaran Insentif Awal RM2,000 untuk penjawat awam baru-baru ini, yang sedikit sebanyak memberikan kelegaan kepada anggota perkhidmatan awam bagi membuat perbelanjaan awal sekolah, Ramadan dan mungkin sebahagian untuk raya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Sembilan bersama CUEPACS yang dirasmikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, di sini.

Sementara itu, Adnan berkata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan dan Pertubuhan Keselamatan Sosial, perlu mencadangkan kepada kerajaan bentuk kebajikan yang sesuai untuk penjawat awam akan datang, dalam perbincangan pada 25 Mac ini.

Beliau berkata ini termasuk cadangan supaya kerajaan meningkatkan skim caruman KWSP untuk majikan dan pekerja pada kadar bersesuaian, atau tidak kurang 26 peratus daripada gaji asas penjawat awam baharu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN