KOTA BHARU, 2 Mei - Cuaca panas susulan fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini dijangka berterusan sehingga Julai ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata beberapa kawasan terutamanya di Kelantan, Perlis dan Kedah bakal berdepan situasi berkenaan.
"Mengikut laporan yang kita terima tempoh hari dia (El Nino) sudah mula beralih tidak lama lagi di mana hujan akan turun dalam tempoh sebulan ke dua bulan lagi. Tetapi cuaca ini akan berubah secara dinamik dan pihak Meteorologi akan memberikan laporan terkini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI NRES di Kampung Aril, Melor, di sini.
Tambah Nik Nazmi, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk memantau paras air dan kemungkinan melaksanakan pembenihan awan jika perlu.