KUALA LUMPUR, 13 MEI – Orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka susulan perubahan angin Monsun Timur Laut yang boleh menyebabkan jerebu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia Ambun Dindang berkata, tiupan angin boleh menyebabkan jerebu bersifat tempatan atau merentas sempadan.
"Apa yang berlaku pada monsun barat daya ini, cuaca kita lebih kering berbanding dengan Monsun Timur Laut dan juga peradaan Monsun yang lepas.Turut mendapati jumlah hari hujan itu lebih rendah berbanding dengan monsun yang lain." katanya ketika ditemui RTM selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di sini, hari ini.
Terdahulu, MetMalaysia memaklumkan Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 10 Mei dan berterusan sehingga September ini.
Lazimnya, cuaca panas berpanjangan di kebanyakan kawasan, terutamanya di pedalaman Semenanjung seperti Perlis, Kedah, Perak dan Pahang.
"Selain itu, fenomena garis badai dijangka terbentuk di beberapa kawasan seperti pantai barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah.
"Garis badai merupakan pembentukan ribut petir yang bermula di laut sebelum bergerak ke daratan dan lazimnya berlaku pada waktu pagi," katanya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat agar memantau sebarang amaran ribut dan cuaca ekstrem yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh MetMalaysia.
Katanya, walaupun suhu maksimum tidak dijangka melebihi rekod tertinggi sebelum ini pada bulan April, pemantauan tetap diperlukan khususnya di kawasan pedalaman yang menerima impak haba lebih ketara akibat ketiadaan hujan berpanjangan.