fb fb fb fb fb

Cuaca panas: Kebenaran khas murid, guru pakai pakaian sukan - KPM

Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) diminta untuk memberi pertimbangan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana memakai pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas / Foto Hiasan

PUTRAJAYA, 19 Mac - Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) diminta untuk memberi pertimbangan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana memakai pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas.

Ini berdasarkan kepada keperluan dan situasi semasa di institusi masing-masing.

KPM memaklumkan institusi pendidikan turut dinasihatkan agar sentiasa mengikuti garis panduan berkaitan fenomena cuaca negara yang telah ditetapkan.

"Institusi pendidikan perlu peka dengan perkembangan semasa melalui media mengenai fenomena cuaca panas di kawasan masing-masing dan mematuhi saranan pihak berkuasa dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan seluruh warga institusi pendidikan," kata KPM menerusi kenyataan.

KPM turut memaklumkan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan di bawah KPM juga diminta untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan seperti menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah jika cuaca terlalu panas dan memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.

Semua institusi pendidikan KPM juga diminta supaya sentiasa berwaspada dan bekerjasama dengan klinik serta hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN