
KUALA LUMPUR, 8 Julai – Kira-kira 70 orang pengamal media dari pelbagai agensi diraikan dalam program makan buah-buahan tempatan anjuran Co-opbank Pertama (CBP) di ibu negara.
- Program Kendurian kali kelima anjuran CBP bagi mengeratkan hubungan dan penghargaan terhadap pengamal media.
- Ketua Pengurusan Strategik Syaiful Arief tekankan media sebagai rakan utama komunikasi yang perlu dipelihara.
- CBP rancang karnival pickleball pada Oktober sebagai aktiviti CSR untuk riadah, sukan dan memperkukuh semangat kebersamaan media.
Program Kendurian Bersama CBP itu merupakan kali kelima dianjurkan dalam usaha mengeratkan lagi hubungan antara pihak bank koperasi berkenaan dengan pengamal media.
Antara buah-buahan yang disediakan oleh penganjur untuk dinikmati seperti pelbagai jenis durian, manggis dan juga rambutan.
Ketua Pengurusan Strategik CBP, Syaiful Arief Syah Mohamed Said berkata, program makan buah-buahan itu adalah salah satu daripada usaha pihaknya menzahirkan penghargaan dan terima kasih tidak terhingga terhadap media yang tidak pernah jemu mempromosikan produk-produk mereka.
“Rakan media adalah raja komunikasi, jadi hubungan dengan media perlu kita kekalkan dengan baik. Bagi kami, CBP dan media berpisah tiada.
“Alhamdulillah, ini tahun kelima kita bersama media dan insya-Allah program seperti ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, CBP turut merancang beberapa aktiviti lain termasuk karnival ‘pickleball‘ bersama pengamal media buat julung kali yang dijangka berlangsung pada Oktober depan bersempena sambutan Hari Sukan Negara.
“Kita merancang menghimpunkan agensi-agensi media untuk beriadah, bersukan dan mengenali satu sama lain menerusi karnival pickleball.
“Program ini bukan sekadar untuk CBP, tetapi sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami bagi memberi ruang kepada pengamal media memperkukuh hubungan dan semangat kebersamaan sesama mereka,” katanya.