
JOHOR BAHRU, 9 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) diberikan pendedahan berkaitan kepimpinan dan politik, menerusi kursus khas yang disediakan.
- Cadangan kursus khas untuk MPP memberi pendedahan kepimpinan dan politik
- Kursus bertujuan memahamkan bidang politik negara dan membentuk kepimpinan pelajar lebih matang
- Kerajaan bersedia membiayai pelaksanaan kursus jika MPP seluruh negara memohon
Beliau berkata kursus itu bagi memberi kefahaman kepada pemimpin pelajar mengenai bidang politik negara sekali gus, membentuk kepimpinan yang lebih matang.
Kerajaan bersedia membiayai pelaksanaan kursus berkenaan sekiranya mendapat permintaan daripada MPP di seluruh negara bagi membolehkan mereka mengikuti kursus kepimpinan yang dapat memberi pendedahan mengenai landskap politik sebenar tanah air.
“Jika ada permintaan daripada mereka, kita sediakan untuk kursus berkenaan dalam kalangan pelajar universiti”, katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Program Khabar Siswa di Politeknik Ibrahim Sultan, Johor Bahru.