fb fb fb fb fb

CIQ di Johor akan beroperasi penuh sepanjang TBC

Pengarah Imigresen Malaysia Negeri Johor Baharuddin Tahir

JOHOR BAHRU, 5 Februari - Agensi kawalan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Bangunan Sultan Iskandar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini akan beroperasi sepenuhnya sepanjang tempoh sambutan Tahun Baru Cina (TBC) bagi melancarkan pergerakan keluar masuk di kedua-dua pintu tambak berkenaan. 

Pengarah Imigresen Malaysia Negeri Johor Baharuddin Tahir berkata, pihaknya menjangkakan akan berlaku peningkatan lebih 200,000 pengembara sehari yang akan memasuki negara ini.

Sebanyak 453 kaunter akan dibuka sepenuhnya di semua mod laluan kenderaan termasuk lori di kedua-dua kawasan itu. 

"Selain itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor mengenakan kawalan cuti kepada pegawai yang mana hanya mereka yang menyambut TBC sahaja yang dibenarkan cuti maknanya pegawai lain tidak dibenarkan cuti, dengan ini kami dapat beroperasi pada kadar penuh," kata Baharuddin dalam sidang media Inisiatif Mengatasi Kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di sini. 

Sekatan kepada kenderaan berat dan pemeriksaan kargo juga akan dilaksanakan dua hari sebelum Sambutan Tahun Baru Cina.

Beliau turut menasihatkan kepada semua pengembara untuk merancang perjalanan sebaiknya dan menggunakan sosial media untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan aliran trafik. 

Terdahulu, JIM merekodkan seramai 348, 693 kemasukan pengembara bersempena perayaan Tahun Baru Cina selama dua hari pada 20 dan 21 Januari, tahun lalu di KSAB serta BSI.  

Sementara itu, Baharuddin berkata, depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas yang merupakan satu-satunya pusat tahanan warga asing di Pontian, Johor sentiasa dikawal ketat bagi mengelakkan kes yang tidak diingini seperti tahanan lolos berlaku. 

Beliau memaklumkan hingga hari ini seramai 1,070 tahanan warga asing dikawal pada tahap tertinggi di tepot tahanan berkenaan.

Depot itu juga dikawal 211 pegawai dan pegawai unit kawalan bertugas pada setiap syif memandangkan di Pekan Nenas mampu memuatkan hingga 1,250 tahanan.

"Saya boleh katakan bahawa daripada segi kawalan Depot Imigresen Pekan Nenas ini pada tahap tertinggi untuk kita memastikan kejadian seperti di Depot Tahanan Sementara Imigresen Bidor tidak berulang. Setakat ini terkawal,"katanya.

Pada 1 Februari lalu, seramai 131 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah melarikan diri dari blok lelaki Depot Tahanan Sementara Imigresen Bidor, Perak termasuk seorang tahanan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. 

Daripada angka itu, 115 merupakan etnik Rohingya manakala 15 lagi Warga Myanmar dan seorang Bangladesh.

TETITIA YUSOFF