GURUN, 20 April - Usaha mencegah penggunaan vape yang dikhuatiri mengandungi dadah jenis fentanyl atau dadah zombie dalam kalangan remaja termasuk pelajar sekolah perlu dilakukan secara lebih drastik dan teliti.
Pengerusi Jawatankuasa Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Negeri Kedah Datuk Dr. Zulkifly Mohamad berkata, usaha tersebut tidak hanya terletak dibahu satu pihak semata-mata.
Sebaliknya ia memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, guru, dan pihak berkuasa bagi mengelak aktiviti tersebut menjadi lebih parah.
"Jadi apa yang perlu buat adalah didik anak-anak jangan mencuba sesuatu yang diluar pengetahuan kita. Jadi Insya-Allah kalau kerjasama yang baik dalam kalangan kita, pencegahan diperingkat awal maka Insya-Allah kita dapat membendung perkara ini tak jadi lebih ketara dan lebih membarah pada masa hadapan," kata Dr. Zulkifly.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Kedah bercakap kepada pemberita selepas Program Aspirasi Guru-Guru Pengakap Negeri Kedah bersama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah tahun 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Gurun. Program dirasmikan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Ismail Othman.
Khamis lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis tidak menolak kemungkinan dadah jenis fentanyl atau dadah zombi akan menular dalam kalangan remaja termasuk pelajar sekolah berikutan penggunaan vape yang tinggi di peringkat usia itu.
Penggunaan vape yang tidak terkawal dikhuatiri mendedahkan golongan remaja dengan dadah termasuk fentanyl yang 100 kali lebih kuat daripada morfin.
Katanya, penggunaan dadah zombi tersebut setakat ini dikesan di Dang Wangi, Kuala Lumpur dan Johor Bahru berdasarkan ujian saringan air kencing yang dilakukan.
Namun begitu, beliau bimbang selepas satu makmal dadah yang menghasilkan vape dibongkar di Kedah menerusi Ops Kenari dari 9 hingga 16 April lalu. Ia merupakan makmal dadah menghasilkan vape yang pertama diserbu di Kedah.