fb fb fb fb fb

Calon profesional dipilih sebagai wakil Tanjung Batu

Timbalan Setiausaha Agung GRS yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Ali bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera Muda N.71 Tanjung Batu bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Perkarangan Pejabat Parti Gerakan Rakyat Sabah (GRS) Tanjung Batu di Tawau/BERNAMA

TAWAU, 19 November - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu dengan mengetengahkan anak muda di barisan hadapan sebagai calon dan pemimpin.

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata GRS menampilkan calon profesional Dr. Andi Mohd Shamsureezal Mohd Sainal yang merupakan seorang doktor perubatan serta bekas pengarah hospital Lahad Datu.

Pemilihan itu sebagai simbol keterbukaan parti menampilkan tokoh berkepakaran.

Beliau menegaskan GRS membuktikan komitmen untuk mewakili semua lapisan masyarakat dengan memberi peluang kepada anak muda berada di barisan hadapan sebagai calon dan pemimpin.

"Anak muda, seorang doktor perubatan, pengarah hospital yang mengambarkan keterbukaan yang jujur bagi pihak GRS untuk membawa semua segmen masyarakat, bukan hanya menyertai sebagai ahli tetapi diberikan peranan yang bersesuaian dengan kepakaran. Mereka diberikan tempat di barisan hadapan sebagai calon dan insyaAllah menjadi ahli Dewan Undangan Sabah.

"Jadi ini komitmen daripada GRS dan diterima dengan positif dan bagi saya momentum ini menunjukkan bahawa insyaAllah kita akan dapat menang satu kerusi bagi DUN Tanjung Batu ini," kata beliau yang juga Menteri Perdangangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kepada media selepas melancarkan Jentera GRS Dun Tanjung Batu di Perkarangan Pejabat GRS Tanjung Batu, Tawau.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ