KUALA LUMPUR, 15 Januari - Polis Diraja Malaysia menafikan wujudnya modus operandi penipuan bentuk baharu yang dinamakan sebagai “Sim Swap”.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata mesej berkenaan kewujudan modus operandi baharu itu dikenal pasti pihaknya menerusi sebaran informasi melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook.
Menurutnya, mesej itu adalah palsu dan setakat ini tiada laporan polis diterima berkaitan modus operandi berkenaan.
"Menerusi mesej itu, mangsa akan menerima panggilan dan diminta menekan butang satu sebelum telefon digodam serta diambil alih penjenayah bagi memindahkan semua wang mangsa ke akaun lain.
Apa yang kerap berlaku adalah penghantaran fail APK (Paket Pakej Android) kepada pengguna telefon pintar yang mengandungi aplikasi berbahaya. Apabila pengguna memuat turun aplikasi itu, ianya akan memberi akses kepada penjenayah untuk mendapatkan data mengenai perbankan internet milik mangsa dan kemudian digunakan untuk memindahkan wang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Kamarudin menasihatkan orang ramai untuk berhenti menyebarkan maklumat itu dan berita tidak benar bagi mengelak kegusaran awam serta boleh menghubungi CCID Scam Response Centre (Pusat Respon Penipuan JSJK) di talian 03-26101559/1599 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi menyalurkan maklumat. - BERNAMA