KUALA LUMPUR, 30 Julai- Sebanyak 41,000 pelajar Sarawak di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) seluruh negara menerima Bantuan Kewangan Khas (BKK) Pelajar Sarawak berkuat kuasa hari ini secara berfasa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata bantuan kewangan sebanyak RM1,200 diberikan kepada pelajar Sarawak yang menuntut di Semenanjung sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan bantuan bernilai RM50.4 juta.
"Tapi yang penting, kita ada kerajaan yang prihatin. Bantuan ini dapat meningkatkan kedudukan sosial penerima. Setiap seorang menerima RM1,200 seperti yang disebut oleh menteri tadi.
Ini melibatkan 41,000 orang penerima, dengan jumlah permohonan lebih kurang 42,000. Kalau dikira, 42,000 kali RM1,200, jumlahnya adalah RM50.4 juta. Ini adalah duit kita bersama," kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Bantuan Kewangan Khas (BKK)Pelajar Sarawak di IPT di Malaysia, di sini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof , Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn.
Jelas beliau, langkah itu bukan sekadar menyokong keperluan kewangan malah sebagai satu bentuk penghargaan dan dorongan kepada anak-anak Sarawak untuk terus fokus kepada pengajian mereka tanpa memikirkan masalah kewangan.
Bagi penerima bantuan, pemberian tersebut dianggap sangat membantu dari segi perbelanjaan harian termasuk urusan pembelajaran dan rata-rata mereka menghargai usaha insentif berkenaan.
"Pada masa depan, saya yakin saya bersedia untuk berkhidmat, mungkin di Yayasan Sarawak atau mana-mana agensi kerajaan di Sarawak, bagi menyumbang kembali kepada kerajaan kita," kata Tan Jin Yee, pelajar Universiti Malaya (UM).
"Pemberian ini sangat membantu, terutamanya untuk keperluan mencetak. Saya nak beli alat tulis, sekarang musim peperiksaan. Jadi, banyak nota yang perlu dicetak. Maka, ia sangat membantu.
Saya akan bekerja dalam bidang saya iaitu pengiklanan. Dengan ilmu yang saya ada, saya akan bawa balik ke Sarawak dan cuba membangunkan lagi industri komunikasi di negeri ini dengan lebih mendalam," kata Nur Camelia Abdan Naser, pelajar UiTM.
"Selepas tamat pengajian, saya berharap dapat bekerja di bawah kerajaan Sarawak dalam bidang tenaga. Baru-baru ini, saya dengar Premier Abang Jo, sudah memasarkan tenaga ke luar Sarawak. Jadi, saya berharap dapat menjadi salah satu penyumbang kepada negeri dalam bidang ini," kata Darren Nyaloi Anak Bap.