fb fb fb fb fb

Beruang jantan dipercayai tular sebelum ini, ditangkap

Foto PERHILITAN Terengganu

KUALA TERENGGANU, 1 Ogos - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu berjaya menangkap seekor beruang jantan dalam satu operasi yang dilakukan malam tadi.

Beruang matahari itu dipercayai beruang sama dalam video-video yang tular di media sosial yang sesat di sekitar Kuala Terengganu sejak kebelakangan ini.

Pengarahnya Loo Kean Seong berkata, lapan anggota PERHILITAN negeri dan dari daerah Kuala Terengganu terlibat dalam operasi itu bermula 11.00 malam yang dijalankan sekitar Kampung Jati, di Gong Badak, Kuala Nerus.

Beruang itu berjaya ditangkap menggunakan kaedah pelali kira- kira pukul 12.50 tengah malam tadi.

"Itu adalah beruang sama dengan beruang tular itu berdasarkan beberapa ciri pada beruang tersebut kerana mempunyai parut dan bengkak di bahagian belakang badannya.

"Beruang berkenaan dipercayai berleliaran di sekitar Kampung Hutan Banau, Sungai Derhaka, Sungai Rengas, Kuala Bekah, Pulau Musang, Pulau Rusa, Paloh Sungai Kiat, Losong, Bukit Tumboh dan Taman Desa Wakaf Baru," kata Loo Kean.

Beruang seberat 90 kilogram itu akan dilepaskan ke hutan simpan yang sesuai dengan kemandirian haiwan tersebut.

PERHILITAN Terengganu juga berterima kasih terhadap orang awam yang sentiasa prihatin dan membuat aduan mengenai beruang tersebut hingga berjaya menemuinya dalam keadaan selamat.

Orang ramai juga boleh memaklumkan sebarang penemuan haiwan liar melalui WhatsApp di talian hotline Perhilitan 011-6498 9551.

TETITIA YUSOFF