
ISTANBUL, 5 Julai – Kualiti udara di sekitar Washington DC dan utara Virginia dijangka mencapai tahap “sangat tidak sihat” pada Sabtu ketika wilayah itu berdepan cuaca panas melampau semasa membuat persiapan bagi pertunjukan bunga api sempena Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat yang diharapkan pentadbiran Presiden Donald Trump akan mencipta rekod baharu, lapor Anadolu Ajansi.
- AQI meramalkan kualiti udara semakin merosot di pinggir bandar Maryland hingga tahap "tidak sihat".
- Pegawai kesihatan Dr Kisha Davis: suhu tinggi dan bunga api akan memburukkan pencemaran; jika boleh, kekal di dalam bangunan.
- Perkhidmatan Taman Negara mengakui pertunjukan bunga api besar akan menjejaskan kualiti udara; nasihat: kurangkan pendedahan dan pakai pelitup N95.
Indeks Kualiti Udara (AQI) Amerika Syarikat turut meramalkan keadaan kualiti udara yang semakin merosot di kawasan pinggir bandar Maryland, berhampiran ibu negara itu, dengan bacaan dijangka mencapai tahap “tidak sihat.”
Pegawai Kesihatan Daerah Montgomery, Maryland, Dr Kisha Davis, memberitahu CNN bahawa suhu tinggi akan memburukkan lagi kualiti udara sepanjang hari manakala pertunjukan bunga api akan meningkatkan tahap pencemaran.
“Jika anda boleh berada di dalam bangunan, kekallah di dalam.” saran Davis.
“Kualiti udara hari ini ibarat berlari maraton sambil menghisap sebatang rokok,” katanya lagi.
Sehingga 9 pagi waktu Timur (1300 GMT), kualiti udara di Washington DC, utara Virginia dan kawasan pinggir bandar Maryland masih berada pada tahap “sederhana.”
Pertunjukan bunga api itu dijangka mencipta rekod baharu Rekod Dunia Guinness sebagai pertunjukan bunga api terbesar di dunia, dengan hampir 850,000 bunga api dijadual dilancarkan dari 10 lokasi di sekitar Kolam Pantulan Memorial Lincoln, barj di Sungai Potomac dan Taman West Potomac.
The Washington Post sebelum ini melaporkan bahawa dokumen dalaman Perkhidmatan Taman Negara Amerika Syarikat mengakui pertunjukan bunga api itu akan memberi kesan ketara terhadap kualiti udara.
Dokumen berkenaan menasihatkan orang ramai agar mengurangkan pendedahan kepada pencemaran udara serta mengesyorkan mereka yang menyaksikan pertunjukan itu di kawasan terbuka memakai pelitup muka jenis N95.- BERNAMA