
MUAR, 5 Julai – Syarikat telekomunikasi yang masih culas dalam menangani masalah internet di luar bandar akan dipanggil Kementerian Komunikasi bersama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
- Menteri berkata rakyat mengharapkan 5G, namun tahap kelajuan banyak kawasan masih setaraf 2G atau Edge.
- Kementerian komited untuk memperbaiki liputan internet DUN Bukit Naning yang majoritinya dilitupi ladang sawit.
- Perancangan pembinaan menara telekomunikasi baharu dijangka meningkatkan liputan terutama di Batu 14, 15 dan 16.
- Pengarah MCMC Johor dibawa meninjau kawasan selepas aduan penduduk mengenai masalah liputan.
Tindakan itu menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bagi mendapatkan penjelasan termasuk mempercepat tindakan penambahbaikan di kawasan yang masih berdepan isu capaian internet.
“Rakyat mengharapkan 5G tetapi tahap kelajuan mungkin pada tahap 2G ataupun Edge. Pihak telco sepatutnya memanfaatkan data yang ada sepenuhnya,” katanya semasa menghadiri Kenduri Doa Selamat dan Tahlil di Parit Jepon di sini.
Hadir sama calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Negeri (DUN) Bukit Naning, Md Ysahrudin Kusni.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Komunikasi terus komited meningkatkan liputan internet di kawasan DUN Bukit Naning yang kebanyakan dilitupi kawasan ladang sawit.
Datuk Fahmi berkata insiatif yang bakal dilakukan antaranya mendirikan menara telekomunikasi baharu di kawasan berkenaan.
“Bentuk muka bumi dan tanaman sawit mengganggu kepada signal perkhidmatan telco. Justeru, perancangan pembinaan menara baharu diharap dapat memberi meningkatkan liputan terutama di Batu 14, 15 dan 16,” katanya lagi.
Datuk Fahmi turut membawa Pengarah MCMC Johor Syed Isa Shekh Alsagoff untuk meninjau sendiri keadaan di kawasan itu selepas menerima aduan penduduk mengenai masalah liputan telekomunikasi.