Maghribi sekat impian Kanada

Foto AFP

HOUSTON, 5 Julai – Kanada beraksi dengan penuh semangat juang terpaksa akur apabila tersingkir daripada saingan Piala Dunia FIFA 2026, selepas tunduk 0-3 kepada Maghribi dalam aksi kalah mati di sini, pada awal pagi Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ouahbi puji respons pasukan babak kedua; kawalan bola dan eksploitasi ruang jadi kunci kemenangan.
  • Azzedine Ounahi jaringkan gol pada minit ke-50, gol kedua pada minit ke-82, dan Soufiane Rahimi muncul sebagai pemain gantian menjaringkan gol ketiga.
  • Pengendali Kanada Jesse Marsch berbangga dengan aksi pemain meskipun nasib tidak menyebelahi mereka.

Jurulatih Maghribi, Mohamed Ouahbi berkata anak buahnya bertindak balas dengan sangat baik pada babak kedua terutamanya dalam kawalan bola.

“Saya akui Kanada tampil mengagumkan dan mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri. Ia bukan kejutan buat kami tetapi pada babak kedua kami berjaya mengeksploitasi ruang kosong yang ditinggalkan mereka dan itulah kunci kemenangan kami,” jelas Ouahbi.

“Ini adalah perlawanan Piala Dunia dan ia adalah perlawanan yang sukar kerana setiap pasukan berjuang demi kelangsungan pasukan mereka,” katanya lagi.

Keputusan itu perit buat Kanada kerana dilihat lebih dominan sebelum gol pertama perlawanan Maghribi terhasil menerusi Azzedine Ounahi pada minit ke-50 diikuti pada minit ke-82 di hadapan 68,777 penonton.

Maghribi melengkapkan kemenangan bergaya dengan gol ketiga pada penghujung perlawanan menerusi pemain gantian, Soufiane Rahimi.

Sementara itu, pengendali Kanada, Jesse Marsch menegaskan walaupun tewas, beliau berbangga dengan aksi yang dipamerkan anak buahnya.

“Satu penghormatan besar buat peminat, Kanada merupakan pasukan yang sentiasa memburu kemenangan dan tidak bermain secara bertahan. Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi kami,” ujarnya.

“Biarpun Maghribi pasukan yang hebat, saya tetap memilih pasukan saya sendiri. Saya amat berbangga dengan pemain saya. Kami telah memberikan segalanya,” tambah beliau.

Maghribi, merupakan finalis separuh akhir Piala Dunia 2022 dijadualkan bakal berdepan sama ada Perancis atau Paraguay.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.