
PUTRAJAYA, 4 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu amalan penggunaan surat sokongan dalam permohonan bantuan dan pembiayaan usahawan dihentikan segera.
- Kemudahan pembiayaan mesti diberikan secara telus dan adil berdasarkan merit serta syarat ditetapkan, tanpa campur tangan pihak tertentu.
- Fokus pada syarikat Bumiputera berkeupayaan dan berdaya saing, bukan berdasarkan pengaruh atau lobi.
- Amaran tegas: ketua cawangan, cabang atau bahagian yang melobi tidak akan diberi layanan istimewa.
- Perkukuh sistem berasaskan ketelusan untuk elak penyalahgunaan kuasa, ketirisan dan kerugian dalam inisiatif pembiayaan.
Tegas beliau, kemudahan itu mesti diberikan secara telus dan adil berdasarkan merit serta syarat ditetapkan, tanpa campur tangan atau pengaruh pihak tertentu.
“Maka kita boleh fokus betul-betul membangunkan syarikat Bumiputera yang mempunyai keupayaan dan kelebihan. Kalau bergantung kepada surat sokongan semata-mata, itu langkah yang boleh merosakkan. Perkara ini sudah berlarutan puluhan tahun.
“Saya tidak peduli ketua cawangan (parti), ketua cabang atau ketua bahagian yang melobi. Saya sudah beri amaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian SParK 2026 anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) di sini hari ini.
Jelasnya lagi, walaupun terdapat program yang menunjukkan hasil positif, kerugian besar masih dicatatkan dalam beberapa inisiatif pembiayaan yang dilaksanakan sebelum ini.
“Kelemahan sistem yang diwarisi sejak sekian lama turut membuka ruang kepada amalan tidak sihat, termasuk penyalahgunaan kuasa dan ketirisan dalam pelbagai program pembiayaan,” katanya.
Justeru, Datuk Seri Anwar menekankan keperluan untuk memperkukuh pendekatan berasaskan sistem dan ketelusan bagi mengelakkan ketirisan serta memastikan setiap usahawan mempunyai peluang sama untuk berkembang.