fb fb fb fb fb

Beriani Johor diangkat sebagai makanan warisan Johor

Foto FB JohorFM

JOHOR BAHRU, 19 Oktober- Sajian Nasi Beriani Johor diangkat sebagai salah satu makanan warisan Johor, seterusnya menjadi produk tarikan pelancongan negeri itu bersama menu lain seperti telur pindang, kuih lopes dan mi rebus.

Pengiktirafan itu diberikan selepas melalui fasa kajian dan penyelidikan mengenai nasi beriani di beberapa daerah di Johor.

Pengarah Yayasan Warisan Johor (YWJ), Sharil Nizam Abdul Rahim berkata seramai sembilan pengusaha nasi beriani di Batu Pahat, Johor Bahru dan Muar dipanggil untuk sesi bengkel selama tiga hari untuk mendapat kesepakatan mengenai pembuatan Beriani Johor.

"Itu antara sebab kita anjurkan bengkel bagi mendapat kata sepakat tentang menu nasi beriani Johor. Apa yang perlu ada dalam menu itu contohnya mesti ada telur pindang dan garam berlada.

Kita nak pastikan keunikan menu ini adalah tidak sama dengan menu nasi beriani di negeri lain," kata Sharil kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Beriani Johor sebagai Makanan Warisan Johor yang disempurnakan ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.


(Foto FB JohorFM)

Pihaknya turut merancang untuk mencalonkan Beriani Johor sebagai salah satu warisan tidak ketara untuk diiktiraf di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu UNESCO.

Ia dijangka mengambil masa sehingga lima tahun untuk mendapat pengiktirafan tersebut, yang melalui peringkat pembentangan dan pengisian borang.

Selain nasi beriani, YWJ juga akan mewartakan beberapa sajian negeri seperti mi bandung dan satay Muar, sambal belangkas Kota Tinggi dan pepes.

Media Baharu