Tiga pelancong Colombia maut nahas helikopter di Rio de Janeiro

Foto AFP

RIO DE JANEIRO, 9 Ogos – Empat individu termasuk tiga pelancong dari Colombia maut selepas helikopter yang dinaiki mereka terhempas di Taman Negara Tijuca, Rio de Janeiro, Brazil, pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga wanita mangsa adalah ahli keluarga yang berkunjung untuk meraikan ulang tahun ke-15 seorang anak perempuan.
  • Kumpulan berpecah kerana helikopter hanya mampu membawa tiga penumpang satu masa.
  • Juruterbang turut maut selepas helikopter terbakar lalu terhempas di lereng bukit curam, kawasan sukar diakses.
  • Konsulat membantu pihak berkuasa mengenal pasti mangsa; Datuk Bandar minta Agensi Penerbangan tingkatkan pemantauan keselamatan helikopter.

Konsul Jeneral Colombia di Rio de Janeiro, Diana Paez, memaklumkan tiga wanita terbabit merupakan ahli keluarga yang berkunjung ke Rio bagi meraikan ulang tahun ke-15 seorang anak perempuan.

Menurutnya, kumpulan enam anggota keluarga itu terpaksa berpecah kepada dua kumpulan kerana helikopter berkenaan hanya mampu membawa tiga penumpang pada satu-satu masa.

Mangsa yang maut terdiri daripada nenek, ibu saudara dan sepupu gadis berkenaan, manakala gadis itu dijadual menaiki penerbangan helikopter kedua bersama bapanya dan pasangan bapanya.

Dalam kejadian itu, juruterbang turut maut selepas helikopter berkenaan terbakar sebelum terhempas di kawasan lereng bukit yang curam dan sukar untuk diakses.

Pasukan bomba mengesahkan keempat-empat mangsa terbakar hingga maut dan mengeluarkan gambar menunjukkan serpihan pesawat yang masih berasap di kawasan kejadian.

Paez berkata, pihak konsulat membantu pihak berkuasa Brazil dalam proses mengenal pasti mangsa, yang disifatkan sukar berikutan keadaan mayat.

Helikopter itu terhempas berhampiran Vista Chinesa, sebuah mercu tanda berbentuk pagoda yang terkenal dengan pemandangan Rio dari kawasan hutan di Taman Negara Tijuca.

Sementara itu, Datuk Bandar Rio de Janeiro, Eduardo Cavaliere, berkata beliau telah meminta Agensi Penerbangan Awam Kebangsaan Brazil meningkatkan pemantauan terhadap operasi penerbangan helikopter bagi memastikan keselamatan pelancong.

Kejadian itu merupakan nahas helikopter kedua dilaporkan di Rio dalam tempoh kurang dua bulan selepas dua helikopter bertembung di ruang udara bandar berkenaan pada Jun lalu, mengorbankan enam individu.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.