ALOR SETAR, 12 September - Sebuah bengkel kenderaan polis Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah musnah dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi, melibatkan sekurang-kurangnya 10 kereta dan lima motosikal berkuasa besar.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan berhubung kebakaran pada 4.53 pagi tadi.
Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, BBP Jalan Raja dan dua Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Jalan Kundor dan Seberang Nyonya bergegas ke lokasi bagi memadam kebakaran.
(Kejadian kebakaran awal pagi tadi
di bengkel kenderaan polis Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah)
"Setibanya di lokasi, pihak bomba mendapati berlaku kebakaran membabitkan bangunan bengkel itu.
"Anggota bomba terpaksa memakai alat pernafasan dan melakukan pemadaman menggunakan lapan aliran 'hose reel' di bahagian kiri, kanan dan hadapan iaitu dua pancutan kiri, dua pancutan kanan selebihnya di bahagian hadapan, " katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Mohamadul Ehsan berkata, kebakaran itu membabitkan bangunan bengkel yang 80 peratus musnah, manakala punca dan kerugian masih dalam siasatan.