
SAUDARA PENGARANG
- Perlu usaha melangkaui pemberian modal dengan latihan pengurusan kewangan, pendigitalan dan akses pasaran.
- Pembiayaan mesti disertai bimbingan praktikal termasuk rekod jualan, pengiraan kos, penetapan harga dan pengasingan wang perniagaan.
- Pendigitalan memerlukan latihan praktikal, pemantauan selepas latihan dan penilaian berdasarkan hasil serta keuntungan.
- Kejayaan perlu diukur melalui kestabilan pendapatan keluarga, aliran tunai, kemampuan bayar balik dan keseimbangan kerja serta keluarga.
Belanjawan 2027 bertemakan “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” membuka ruang untuk memperkukuh pembangunan ekonomi rakyat, khususnya wanita yang menjadikan perniagaan mikro sebagai sumber pendapatan keluarga.
Keberkesanan dasar ini bukan sahaja bergantung pada jumlah peruntukan kerajaan, tetapi juga sejauh mana bantuan yang disediakan mampu membina perniagaan yang mampan dan meningkatkan kesejahteraan isi rumah.
Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) merupakan komponen penting dalam ekonomi negara. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), PMKS menyumbang 39.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada 2025.
Sumbangan ini menunjukkan bahawa kelangsungan perniagaan kecil mempunyai kaitan langsung dengan pertumbuhan ekonomi dan pendapatan masyarakat.
Dalam kalangan usahawan wanita, perniagaan mikro bukan sekadar aktiviti menjana keuntungan, malah menjadi sumber kewangan untuk menampung perbelanjaan harian, pendidikan anak dan keperluan keluarga.
Oleh itu, usaha memperkasa golongan ini perlu melangkaui pemberian modal dengan turut memberi perhatian kepada kemahiran pengurusan kewangan, pendigitalan dan akses pasaran.
Belanjawan 2027 menyediakan pelbagai inisiatif untuk menyokong usaha tersebut, termasuk RM200 juta melalui Geran Sejahtera MADANI bagi membantu penerima mendapatkan peralatan perniagaan dan mengikuti latihan.
Pembiayaan mikro turut ditingkatkan kepada RM6.6 bilion, manakala Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional dan Bank Simpanan Nasional (BSN) terus menyediakan kemudahan pembiayaan kepada usahawan mengikut kumpulan sasaran masing-masing.
Selain itu, geran padanan bagi pensijilan halal dan sokongan melalui Dana Ekonomi Usahawan Wanita (DEWI) membuka peluang kepada usahawan untuk meningkatkan keupayaan perniagaan serta meneroka pasaran yang lebih luas.
Namun, persoalan utama bukan sekadar berapa banyak dana disediakan, tetapi sejauh mana kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan secara berkesan.
Bantuan kewangan perlu disertai bimbingan yang bersesuaian supaya usahawan mampu mengurus perniagaan dengan lebih cekap dan mengurangkan risiko kewangan.
Dapatan Kajian Menunjukkan Keperluan Sokongan Menyeluruh
Dapatan kajian Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terhadap Sahabat Usahawan AIM di Perlis menunjukkan bahawa pembiayaan mikro boleh membantu usahawan meneruskan operasi, menambah stok, mendapatkan peralatan dan menyesuaikan perniagaan dengan perubahan pasaran.
Walau bagaimanapun, kelangsungan perniagaan turut bergantung pada disiplin kewangan, pengetahuan perniagaan, sokongan keluarga dan komuniti serta keupayaan menyesuaikan strategi perniagaan.
Dapatan ini memperlihatkan bahawa pembiayaan sahaja tidak menjamin kejayaan. Peningkatan modal atau jualan tidak semestinya menghasilkan keuntungan bersih yang lebih tinggi kerana usahawan turut menanggung kos bahan mentah, pengangkutan, pembungkusan dan caj platform digital.
Tanpa pengiraan kos yang tepat, peningkatan jualan boleh berlaku tanpa peningkatan keuntungan yang setara.
Sehubungan itu, latihan keusahawanan perlu memberi penekanan kepada kemahiran praktikal seperti penyediaan rekod jualan, pengiraan kos produk, penetapan harga dan pengasingan wang perniagaan daripada wang keluarga.
Usahawan juga perlu memahami aliran tunai serta kemampuan membayar balik pembiayaan agar modal pusingan tidak terjejas oleh perbelanjaan harian.
Pendekatan ini penting bagi memastikan pembiayaan yang diterima benar-benar membantu mengukuhkan perniagaan dan bukannya menambah beban kewangan.
Pendigitalan Perlu Disertai Kemahiran dan Akses Pasaran
Pendigitalan turut menjadi faktor penting dalam memperluas peluang perniagaan. Dapatan kajian temubual Sahabat Usahawan AIM menunjukkan bahawa media sosial dan platform digital digunakan untuk mempromosikan produk, mengurus tempahan dan menjangkau pelanggan di luar kawasan setempat.
Namun, tahap penggunaan teknologi dan keupayaan mengendalikan platform berbeza mengikut kemahiran serta keperluan setiap usahawan.
Keadaan ini menunjukkan bahawa jurang digital bukan sekadar berkaitan akses kepada internet atau peranti, tetapi turut melibatkan keupayaan menggunakan teknologi untuk menjana hasil perniagaan.
Usahawan memerlukan latihan yang praktikal dalam penghasilan kandungan promosi, pengurusan pesanan, penyediaan katalog produk dan penilaian prestasi jualan.
Institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan pusat komuniti boleh memainkan peranan dengan menyediakan bimbingan secara berperingkat serta pemantauan selepas latihan.
Kerjasama ini membolehkan usahawan mendapatkan bantuan apabila menghadapi masalah sebenar dalam operasi perniagaan.
Pada masa yang sama, keberkesanan pemasaran digital perlu dinilai berdasarkan pertambahan pelanggan, pesanan yang berjaya diselesaikan dan keuntungan selepas mengambil kira kos berkaitan.
Jumlah pengikut atau tontonan yang tinggi semata-mata tidak mencukupi untuk membuktikan bahawa sesuatu strategi pemasaran memberikan pulangan yang baik.
Selain kemahiran digital, akses kepada pasaran yang stabil juga perlu diberi perhatian. Agensi kerajaan, koperasi dan institusi pendidikan boleh membantu menghubungkan usahawan dengan peluang pembekalan, pameran serta program vendor.
Bagi usahawan yang bersedia berkembang, sokongan terhadap pensijilan, kualiti produk dan pematuhan keperluan pasaran boleh membuka laluan kepada peluang perniagaan yang lebih besar.
Walau bagaimanapun, perkembangan perniagaan perlu disesuaikan dengan kemampuan setiap usahawan.
Perniagaan kecil yang stabil dan mampu menyediakan pendapatan mencukupi mungkin lebih sesuai bagi sesetengah keluarga berbanding pengembangan operasi yang meningkatkan risiko kewangan.
Sokongan Komuniti dan Kesejahteraan Keluarga
Selain itu, kepentingan jaringan sokongan dalam kalangan usahawan juga tidak dapat disangkal. Hubungan sesama ahli kumpulan dan komuniti boleh menjadi ruang untuk berkongsi pengalaman, mendapatkan sokongan serta menghadapi cabaran perniagaan.
Bagi usahawan mikro yang mempunyai sumber dan tenaga kerja terhad, jaringan ini dapat membantu mengurangkan pengasingan ketika berdepan masalah.
Namun, sokongan berkumpulan perlu dilaksanakan secara seimbang supaya tanggungjawab pembayaran balik tidak menimbulkan tekanan yang berlebihan. Usahawan yang menghadapi kesukaran kewangan perlu mendapat akses kepada khidmat nasihat dan penilaian mengikut prosedur institusi pembiayaan.
Pendekatan yang adil dapat membantu mengekalkan fungsi sokongan komuniti tanpa mengabaikan tanggungjawab kewangan peminjam.
Dalam konteks usahawan wanita, kesejahteraan keluarga juga perlu menjadi sebahagian daripada ukuran kejayaan.
Tanggungjawab mengurus perniagaan dan keluarga secara serentak boleh mengehadkan masa untuk mengembangkan perniagaan serta meningkatkan beban kerja harian.
Oleh itu, kejayaan program pembiayaan mikro wajar dinilai melalui perubahan keuntungan bersih, kestabilan aliran tunai, keupayaan memenuhi komitmen kewangan dan pembentukan simpanan kecemasan.
Penilaian juga perlu mengambil kira kemampuan usahawan mengekalkan keseimbangan antara perniagaan dengan tanggungjawab keluarga.
Ukuran ini memberikan gambaran yang lebih menyeluruh berbanding penilaian berdasarkan jumlah pembiayaan yang diluluskan atau bilangan penerima semata-mata.
Perniagaan yang mampu menyediakan pendapatan stabil dan mengurangkan tekanan kewangan keluarga merupakan satu pencapaian penting, walaupun tidak berkembang menjadi perusahaan berskala besar.
Daripada Peruntukan kepada Impak
Belanjawan 2027 menyediakan asas untuk memperkukuh ekosistem usahawan wanita melalui pembiayaan, geran dan latihan.
Cabaran seterusnya ialah memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara terselaras, mudah diakses dan bersesuaian dengan keperluan sebenar penerima.
Penyelarasan antara agensi perlu diperkukuh supaya usahawan mendapat maklumat yang jelas mengenai kemudahan yang tersedia dan laluan untuk mengembangkan perniagaan.
Pada masa yang sama, program sokongan perlu menghubungkan pembiayaan dengan latihan praktikal, bimbingan berterusan dan peluang pasaran.
Kelangsungan perniagaan mikro juga bergantung kepada gabungan modal yang mencukupi, kemahiran pengurusan, keupayaan mengurus risiko dan sokongan persekitaran.
Oleh itu, keberkesanan bantuan Kerajaan perlu dinilai berdasarkan keupayaannya memperkukuh perniagaan, menstabilkan pendapatan dan menigkatkan kesejahteraan keluarga.
Usahawan wanita bukan sekadar sebagai penerima bantuan, malah sebagai penggerak ekonomi komuniti dan penyumbang kepada kestabilan pendapatan isi rumah.
Pembiayaan yang disertai bimbingan yang praktikal, akses pasaran dan pengurusan kewangan yang berkesan dapat membantu perniagaan mikro berpotensi menjadi sumber pendapatan yang lebih berdaya tahan.
Semangat “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan dasar yang memberikan manfaat nyata kepada rakyat.
Kejayaan Belanjawan 2027 bukan hanya terletak pada jumlah peruntukan yang disediakan, tetapi pada sejauh mana usahawan wanita mampu membina perniagaan yang mampan, mengurus risiko kewangan dan meningkatkan kesejahteraan keluarga untuk jangka panjang.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Nuraini Abdullah
Pensyarah Kanan (Ekonomi Keluarga & Pengurusan, Keusahawanan)
Fakulti Perniagaan & Komunikasi
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
E-mel: nuraini@unimap.edu.my