fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026: Kadar elaun ETAP naik 40 peratus selepas 14 tahun

kerajaan turut menyemak semula kadar fi perundingan pengamal perubatan am yang tidak disemak sejak 2006, dengan kadar baharu antara RM10 hingga RM80/Foto KKM

KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Selepas 14 tahun tidak disemak, kadar Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) bagi pegawai perubatan, pegawai perubatan pakar dan pegawai pergigian dinaikkan sekitar 40 peratus berkuat kuasa 1 Oktober 2025, melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM120 juta setahun.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan kadar yang tidak dikaji sejak 2011 itu adalah sebagai penghargaan terhadap dedikasi dan pengorbanan petugas kesihatan di seluruh negara.

“Sebagai contoh, kadar ETAP bagi doktor pakar yang diarah bertugas atas panggilan aktif pada hari cuti akan ditingkatkan kepada RM350 berbanding RM250 sebelum ini,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan MADANI sentiasa cakna terhadap kebajikan dan isu doktor kontrak serta petugas kesihatan yang menjadi tulang belakang sistem kesihatan negara.

“Sejak 2023 hingga 2025, kerajaan telah meluluskan 1,500 jawatan tetap tambahan bagi menyerap doktor kontrak ke jawatan tetap, dan secara keseluruhannya sebanyak 12,900 doktor kontrak telah diserap ke jawatan tetap setakat ini,” katanya.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan kerajaan akan menawarkan 4,500 lagi jawatan tetap kepada doktor kontrak pada tahun hadapan.

Manakala bagi jawatan jururawat, 833 jururawat kontrak telah ditawarkan lantikan tetap tahun ini dan 935 graduan Institut Latihan KKM akan ditawarkan jawatan tetap pada 2026.

Kadar fi perundingan pengamal perubatan

Dalam pada itu, kerajaan turut menyemak semula kadar fi perundingan pengamal perubatan am yang tidak disemak sejak 2006, dengan kadar baharu antara RM10 hingga RM80, berbanding RM10 hingga RM35 sebelum ini.

"Ini beri ruang lebih fleksibel sesuai tahap perkhidmatan ditawarkan, sambil mengekalkan kadar minimum yang tidak membebankan rakyat," katanya.

Keseluruhannya, langkah-langkah ini selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk memperkukuh sistem kesihatan negara dan mempertingkat kebajikan petugas kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan, yang menerima peruntukan sebanyak RM46.5 bilion dalam Belanjawan 2026.

BERITA BERKAITAN

GRACE AISYAH KEDAYAN