KUALA LUMPUR, 12 September - Pembentangan Belanjawan 2026 pada Oktober ini diharap memberi tumpuan kepada masa depan industri kenderaan elektrik (EV) khususnya diimport sepenuhnya (CBU), susulan pengecualian cukai yang bakal tamat hujung tahun ini.
Pakar kewangan, Faiz Azmi berpandangan, isu utama adalah EV CBU yang akan mula dikenakan cukai semula selepas 31 Disember 2025, apabila pengecualian itu tamat.
"Harapan saya dalam Belanjawan 2026, saya nak lihat perkembangan industri EV. Sekarang EV memang dah merata, kanan kiri orang pakai, nampak kerajaan serius nak galakkan penggunaan EV.
"Isunya sekarang, EV CBU. Bila cukai sudah tidak dikecualikan, harga akan naik. Apa jadi pada penjual? Adakah mereka akan angkat beg dan keluar daripada pasaran? Pembeli juga risau," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Sharing Knowledge Friday @ Online Zoom di sini hari ini.
Menurut beliau, sehingga kini belum ada pengumuman sama ada insentif EV CBU akan dilanjutkan dalam belanjawan akan datang.
Katanya, pihak industri dan pengguna kini menanti pengumuman rasmi, sambil berharap kerajaan tidak "membunuh semangat" perkembangan EV yang semakin positif di Malaysia.