fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025: Reformasi perkhidmatan awam terus diperkasa

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Kerajaan komited melaksanakan reformasi perkhidmatan awam menerusi penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Iltizam Kecekapan Pentadbiran Awam.

RUU itu meliputi tiga anjakan utama iaitu mengurangkan birokrasi, mempercepat proses dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan.

Justeru, Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) menerima peruntukan bernilai RM25 juta, tahun depan.

"Dana itu sebagai usaha memperluas Ikhtiar Reformasi Kerenah Birokrasi di semua agensi kerajaan, menerusi kerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Ia termasuk mengkaji peraturan yang boleh memendekkan proses kelulusan untuk kemudahan rakyat, peniaga dan pelabur," kata Anwar dalam pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI, hari ini di Parlimen.

Selain itu, kerajaan bersetuju membentuk saluran berpusat di Pusat Transformasi Bandar (UTC), untuk rakyat memohon bantuan merentasi pelbagai agensi.

"Ikhtiar Kiosk Sentuhan MADANI akan dilaksanakan dengan menghimpun pelbagai kiosk perkhidmatan kerajaan di kawasan tumpuan ramai seperti di pusat beli-belah supaya rakyat boleh berurusan dengan kerajaan di luar waktu pejabat," jelas Anwar.

Dalam pada itu, perkhidmatan bergerak akan terus diperbanyak dengan sokongan peruntukan RM100 juta.

"Klinik Gigi Bergerak ditambah sembilan lagi, menjadikan 54 buah di seluruh negara. Bank BSN Bergerak ditambah empat lagi, menjadikan 16 buah terutamanya untuk Sabah dan Sarawak bagi memudahkan penyaluran bantuan kerajaan.

Perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan mahkamah bergerak juga ditambah baik," tambah Anwar.

Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam menumpukan lima keberhasilan meliputi Nilai dan Tatakelola, Pembangunan Modal Insan, Pembangunan Organisasi, Penyampaian Perkhidmatan dan Sinergi Strategik Awam dan Swasta.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM