fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025: Malaysia di landasan tepat

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 18 Oktober-Belanjawan 2025 disifatkan sebagai inklusif dan mampu meletakkan Malaysia pada landasan tepat.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, belanjawan kali ini merangkumi semua aspek ekonomi terutama berkaitan rakyat.

"Usaha-usaha kerajaan berpaksikan rakyat, di mana pertolongan dengan meningkatkan STR untuk menangani isu kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan rakyat juga.

"Jadi, saya rasa Belanjawan 2025 ini telah di terangkum dengan lebih elok lagi dimana semua fasa dalam ekonomi diberi perhatian, dan rakyat diutamakan", katanya yang ditemui media di Parlimen.

Dalam perkembangan sama, Menteri Pengangkutan, Athony Loke menyifatkan belanjawan tersebut sebagai khabar gembira buat kementeriannya yang selama ini menyalurkan penjualan nombor pendaftaran kenderaan termasuk penjualan nombor pendaftaran istimewa (NPI) kepada golongan kurang berkemampuan sebagai dana. 

"Sudah tentu ini merupakan satu dasar yang baik dan kita dapat teruskan inisiatif kita. kerana sebelum ini, inisiatif itu adalah satu inisiatif secara 'ad-hoc'.

"Kita menggunakan hasil kita daripada penjualan nombor pendaftaran khas NPI untuk dana ataupun membiayai golongan kurang berkemampuan.

"Tetapi tahun ini, kita telah mendapat peruntukan daripada kementerian kewangan sebanyak RM48 juta.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pula berkata Belanjawan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan pertambahan buat kementerian berkenaan terutamanya melibatkan pembangunan.

"Pada tahun ini kita mendapat sebanyak RM18.97 billion dimana pertambahan sebanyak 10.76 peratus dan ini melibatkan perbelanjaan mengurus dan juga pembangunan.

"Kita dapat lihat ada peningkatan untuk pembangunan iatu sebanyak RM4.45 billion keseluruhannya", katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD