fb fb fb fb fb

Bekas pegawai Baitulmal didenda RM15,000

(Mohd. Hasbollah Ahmad di Mahkamah Sesyen Seremban)

SEREMBAN, 16 November- Seorang bekas Pegawai Baitulmal daerah Kuala Pilah dijatuhi hukuman denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima wang baki peruntukan yang diluluskan untuk kerja pembekalan program bantuan hari raya kepada asnaf, lima tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Hasbollah Ahmad, 39 tahun, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Rushan Lutfi Mohamed.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Pegawai Baitulmal Daerah Kuala Pilah didakwa telah menerima sejumlah wang tunai iaitu baki peruntukan yang diluluskan untuk kerja pembekalan program bantuan hari raya.

Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah bank di daerah Tampin pada Jun 2017.

(Kompleks mahkamah Seremban)

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali memohon hukuman yang tinggi ke atas tertuduh sebagai pengajaran.

Bagaimanapun peguam Mohd. Hasryzal Badasary yang mewakili tertuduh merayu agar dikenakan hukuman yang ringan ke atas anak guamnya yang telah insaf dan kini mengalami masalah kewangan selepas diberhentikan kerja.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh didenda RM5,000 dan jika gagal membayar boleh dipenjara empat bulan.

Media Baharu