FOTO TWITTER Yakeb
KUALA LUMPUR, 15 Februari- Bekas atlet baling tukul besi negara dan pemegang pingat emas Sukan SEA dua kali, Semret Singh meninggal dunia pada usia 66 tahun pada pagi Selasa.
Perkara itu dimaklumkan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb)menerusi ciapan di twitter.
Semret meninggalkan isterinya, Gurdip Kaur, 61, dan tiga lagi anak lelaki.
Sementara itu, Bernama melaporkan, anak keduanya Amarraj Singh, 35, berkata, mendiang bapanya meninggal dunia pada jam 9.30 pagi di rumahnya di Sungai Buloh.
"Kami (keluarga) terkejut dengan pemergiannya yang tiba-tiba itu kerana beliau benar-benar cergas dan tidak mempunyai masalah kesihatan sebelum ini,” katanya.
Amarraj berkata, jasad mendiang bapanya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat yang dijangka selesai dalam masa dua hari.
Amarraj yang memiliki firma keselamatan berkata, sebaik sahaja proses bedah siasat selesai, jasad bapanya akan dibawa ke Loke Yew Crematorium di sini untuk orang ramai memberi penghormatan terakhir.
"Kami tidak pasti bila jasad akan dibawa ke Loke Yew Crematorium. Semuanya bergantung kepada proses bedah siasat. Saya akan maklumkan tarikhnya kemudian.
"Beliau adalah inspirasi kepada saya dan seseorang yang patut disanjung khususnya dalam arena sukan. Beliau sememangnya bapa yang hebat dan kami amat merinduinya,” katanya dan menambah bapanya yang mula menjadi jurulatih pada 1990-an adalah seorang yang sangat bermotivasi dan yakin.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut mengucapkan takziah atas pemergian berkenaan.
"Salam Takziah buat keluarga mendiang Semret Singh, tokoh sukan yang banyak menabur bakti kepada negara,' tulisnya di twitter.
Selain memenangi pingat emas dua kali pada Sukan SEA edisi 1989 di Kuala Lumpur dan 1985 (Bangkok), Semret juga merangkul tiga pingat perak pada edisi 1981 di Manila, diikuti 1983 (Singapura) dan 1987 (Jakarta).