ISKANDAR PUTERI, 22 Disember- Seorang wanita ditahan bersama-sama teman lelakinya di Johor Bahru, pada 12 disember lalu, dipercayai menyebabkan bayi lelaki berumur satu tahun positif dadah.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, "bayi tersebut dikesan positif Metamphetamine/ Amphetamine, ketika dibawa suspek ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), selepas mengalami sawan.
"Ibu bayi berkenaan ditahan ketika berada di HSA, manakala teman lelakinya ditahan di Jalan Salleh, Johor Bahru," katanya.
Ujian urin yang dijalankan mendapati pasangan berumur 31 dan 34 tahun itu juga positif dadah.
Suspek telah dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, semalam mengikut Seksyen 31 (1 ) ( A ) Akta Kanak-kanak 2001, dan kini dalam tahanan reman kerana tidak membayar jaminan diberikan mahkamah.
Kes akan disebut semula pada 23 Januari 2024.