Barakah Pit Stop@Masjid Wilayah Persekutuan, santuni golongan rider p-hailing

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Satu inisiatif khas dilaksanakan bagi menyantuni golongan p-hailing yang setiap hari gigih mencari rezeki di jalan raya.

RINGKASAN BERITA AI
  • MAIWP lancarkan Barakah Pit Stop@Masjid Wilayah Persekutuan sebagai ruang persinggahan selesa untuk penunggang p-hailing berehat, makan dan menunaikan solat.
  • MAIWP menyediakan 50 pek makanan percuma, agihan makanan berbuka dan saguhati tunai sebagai penghargaan kepada penunggang gigih.
  • Sumbangan RM105,000 diserahkan kepada PEKERTI untuk pelaksanaan program, dengan hasrat kembangkan inisiatif ke masjid lain di Wilayah Persekutuan.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terus memperkukuh usaha kebajikan kepada masyarakat melalui pelancaran Barakah Pit Stop@Masjid Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata ‘Barakah Pit Stop’ diwujudkan sebagai ruang persinggahan yang selesa buat para penunggang untuk berehat seketika, di samping menikmati kemudahan yang disediakan.

“Kita nak berkongsi bersama kegembiraan dengan semua penunggang kita bagaimana MAIWP melaksanakan program ini supaya mereka ini boleh datang ke masjid berehat dan sebagainya.

“Alhamdulillah, ini baru permulaan dan kita ingin lihat bagaimana nanti di seluruh Wilayah Persekutuan kita akan kenal pasti masjid-masjid yang boleh kita jadikan ‘Barakah Pit Stop’ yang seterusnya,” katanya.

Dr Zulkifli berkata demikian selepas melancarkan ‘Barakah Pit Stop@Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Ruang persinggahan itu dilengkapi kemudahan untuk berehat, makan dan menunaikan solat serta 50 pek makanan percuma turut disediakan.

Bagi penunggang p-hailing, Muhammad Afiq Ismail, 36 tahun, usaha seperti ini perlu diteruskan pada masa akan datang.

“Sememangnya perlu ada satu tempat untuk penunggang berteduh, makan dan minum. Kebiasaannya kami selalu berehat di tepi jalan dan kedai makan, malah kebanyakannya semua bekerja 24 jam,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penunggang p-hailing, Manazir Awang, 50 tahun, bersyukur dan berterima kasih atas inisiatif yang dilaksanakan MAIWP ini.

“Kami lalui dengan keadaan hujan dan panas, malah terpaksa redah waktu berbuka untuk hantar makanan. Justeru dengan sumbangan ini saya sangat berterima kasih atas bantuan seperti ini kepada seluruh penunggang,” katanya.

Dalam majlis itu, MAIWP menyerahkan sumbangan berjumlah RM105,000 kepada Pertubuhan Kebajikan Prihatin Insan (PEKERTI) Kuala Lumpur dan Selangor untuk melaksanakan program berkenaan.

Saguhati tunai dan agihan makanan berbuka puasa juga diagihkan sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang berusaha keras mencari rezeki halal untuk keluarga.