fb fb fb fb fb

Bantuan kemanusiaan: MUIP salur 24 tan makanan ke Aceh

Foto RTM

KUANTAN, 29 Disember - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) melaksanakan program bantuan kemanusiaan ke wilayah Aceh, Indonesia bermula 25 Disember lalu sehingga hari ini.

Bantuan itu melibatkan sebanyak 24 tan makanan sebagai tanda keprihatinan dan solidariti terhadap masyarakat yang terkesan akibat bencana banjir sebelum ini.

Menurut kenyataan MUIP, sumber keperluan asas dibeli daripada pengeluar tempatan di Aceh sendiri melalui kerjasama strategik dengan Dewan Perniagaan Malaysia–Acheh, yang turut membantu dari aspek logistik dan penyelarasan penghantaran.

Pendekatan ini bukan sahaja mempercepatkan proses agihan, malah menyokong ekonomi setempat.

Sebanyak enam lori bersaiz empat tan telah digunakan bagi memastikan bantuan dihantar dengan selamat ke lokasi utama, iaitu Temiang, Aceh Timur, Lhokseumawe, Bireuen (Aceh Utara) dan Pidie Jaya, dengan perjalanan ke lokasi pertama mengambil masa kira-kira 11 jam.

Penyerahan bantuan disempurnakan oleh wakil MUIP, Ahli Lembaga MUIP, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak, kepada Gabenor Aceh, Muazzakir Manaf.

Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sektor Dasar dan Pengurusan MUIP, Kharuddin Ismail, serta Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat Wakaf Pahang, Dr Mohd Azmi Othman.

Program ini turut mendapat sokongan padu daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu NGO Insan Cakna dan Yayasan Patriotik Bangsa yang bertindak sebagai sukarelawan sepanjang pelaksanaan misi kemanusiaan tersebut.

MUIP menegaskan usaha tersebut mencerminkan komitmen berterusan mereka dalam memperkukuh hubungan ukhuwah Islamiah serantau serta menyantuni masyarakat yang memerlukan tanpa mengira sempadan negara.

EZA YUSMAWATI YAACOP