fb fb fb fb fb

Bantuan kemanusiaan ke Gaza, Malaysia mungkin salur bantuan melalui 'air drop'

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 21 Mac - Malaysia tidak menolak kemungkinan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan bagi penduduk di Gaza secara air drop atau digugurkan melalui ruang udara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan sedang berbincang untuk menentukan cara alternatif terbaik untuk menyalurkan bantuan berkenaan.

"Kalau kita hendak lakukan bantuan kemanusiaan melalui 'air drop', mungkin kita hantar barang itu dan pihak sana yang akan lakukan 'air drop' bukan kita hantar kapal terbang kita.

"Kita memang ada bantu tapi cara bagaimana sampai, itu di bawah bidang kuasa Kementerian Luar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Auditorium Wisma Pertahanan, di sini.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 480 kotak makanan hasil sumbangan rakyat Malaysia digugurkan dari udara di utara Gaza menggunakan pesawat kargo C130 milik Tentera Udara Diraja Jordan.

Usaha itu dijalankan menerusi badan bukan kerajaan, Karisma Humanitarian Outreach Mission, hasil kerjasama Organisasi Kebajikan Hashimiyah Jordan, Childcare Charity Association dan Tentera Udara Diraja Jordan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN