fb fb fb fb fb

Bantuan awal mudahkan pelajar kurang berkemampuan lanjut pengajian ke UUM

Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Marthada Mohamed menyambut ketibaan pelajar baharu untuk sesi pendaftaran/Foto Ehsan UUM

SINTOK, 1 Oktober – Inisiatif membantu pelajar daripada keluarga tidak berkemampuan yang menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya mengelak berlakunya penolakan tawaran kerana masalah kewangan.

Bantuan awal yang dihulurkan itu dapat memudahkan urusan bakal mahasiswa mendaftarkan diri untuk menyambung pengajian di UUM.

Menurut Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan, untuk sesi baharu 2024/2025, seramai 185 bakal mahasiswa daripada keluarga tidak berkemampuan, telah mendapat bantuan awal bagi membantu mereka melanjutkan pendidikan.

“Pihak pengurusan UUM dan petugas universiti mengambil inisiatif mengunjungi rumah-rumah pelajar yang dikenalpasti daripada keluarga tidak berkemampuan, untuk menyampaikan bantuan awal supaya pelajar yang mendapat tawaran ke UUM boleh mendaftarkan diri. Setakat ini, jumlah bantuan awal yang diberikan berjumlah RM92,500 dan kami berpuas hati kerana tidak berlaku penolakan tawaran yang berpunca daripada masalah kewangan.

“Selain diberikan wang saku untuk perbelanjaan perjalanan pelajar ke UUM, pelajar yang berdepan masalah dibantu dari segi kemudahan pengangkutan. Kenderaan universiti akan mengambil mereka di stesen bas atau keretapi sebelum hari pendaftaran. Mereka juga diberikan tiket pengangkutan supaya urusan pendaftaran di UUM berjalan lancar,” kata beliau pada sidang media selepas program menyambut ketibaan pelajar baharu ke UUM pagi tadi.

Selain bantuan awal, pelajar terbabit boleh memohon bantuan lain yang disediakan seperti zakat, Bakul Rahmah, bantuan komputer dan juga pembiayaan yuran percuma sepanjang pengajian di UUM menerusi Program Sulung 3.0 iaitu pelajar kategori keluarga miskin yang menjadi anak pertama dalam keluarga menjejakkan kaki ke universiti.

Datuk Dr. Mohd Foad berkata, bagi sesi 2024/2025 ini, UUM menerima kemasukan 4,195 pelajar baharu terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa bagi mengikuti 48 program pengajian Sarjana Muda.

Seramai 4,061 pelajar merupakan pelajar tempatan lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Diploma, Matrikulasi, Asasi Pengurusan UUM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Daripada jumlah itu, seramai 3,860 adalah pengambilan melalui Bahagian Kemasukan Pelajar Institut Pengajian Tinggi (BPKA) atau UPU dan 201 lagi adalah lepasan Asasi Pengurusan UUM. Bagi sesi 2024/2025 ini, kita menerima 77 pelajar antarabangsa iaitu 64 orang dari Indonesia, 12 pelajar China dan seorang dari Bangladesh bagi pengajian peringkat Sarjana Muda. Seramai 57 orang lagi pelajar antarabangsa adalah peserta mobiliti iaitu 34 orang dari Indonesia, 11 dari China, 7 pelajar dari Jepun, 3 dari Brunei dan 2 lagi pelajar Perancis menjadikan jumlah keseluruhan pelajar antarabangsa 134 orang.

“Dari segi pecahan jantina pula, 2,977 adalah pelajar perempuan dan 1,218 merupakan pelajar lelaki. UUM turut menawarkan tempat kepada 13 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) pelbagai kategori, 3 pelajar Orang Asli dan 3 atlet,” jelas beliau.

Bagi tawaran program pengajian, Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian menerima kemasukan pelajar baharu tertinggi iaitu 315 pelajar diikuti oleh Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian (236), Sarjana Muda Sains Ekonomi dengan Kepujian dengan 231 pelajar dan Sarjana Muda Kewangan dengan Kepujian (171).

Program Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian masih mengekalkan syarat kemasukan markah Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.00 bagi lepasan STPM atau Matrikulasi.
Sehingga 1 Oktober 2024, jumlah mahasiswa UUM adalah 30,149 pelajar iaitu 24,671 bagi pengajian Sarjana Muda dan 5,478 untuk pengajian Pascasiswazah.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD