fb fb fb fb fb

Banjir: Premis makanan di sekitar KL terjejas

Keadaan jalan yang dinaiki air akibat banjir kilat susulan hujan lebat petang tadi sekitar Jalan Sultan Azlan Shah/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Ogos- Premis makanan di sekitar Kuala Lumpur turut terjejas dalam kejadian banjir kilat di ibu negara petang tadi.

Tinjauan RTM di sekitar Jalan Ipoh Kuala Lumpur mendapati, kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan.

Para peniaga yang ditemui, turut menyifatkan banjir kilat yang berlaku antara yang terburuk pernah berlaku pada tahun ini.

"Terkejut, hujan pukul 4.30 petang, memang sangat lebat tidak pernah berlaku. Habis air masuk, sehingga paras pinggang, kata Peniaga, Mazkuri Abd Rahman.

"Secara mendadak air naik seperti banjir kilat, begitu cepat. Jadi pihak-pihak pengusaha restoran begitu panik sebab tidak sempat menyelamatkan alat-alat untuk perniagaan malam ini", kata Peniaga, Suzambri Che Seman.

Terdahulu, beberapa lokasi sekitar ibu negara dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak petang tadi.

Antara lokasi terlibat, Segambut Bypass, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Pahang, Jalan Genting-Klang dan Jalan Dutamas.

Turut tular gambar beberapa kenderaan di parkir berhampiran Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, ditenggelami air akibat hujan lebat.

ROSLINA BINTI DIN