fb fb fb fb fb

Banjir kilat di Shah Alam, enam PPS dibuka

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 11 April- Beberapa penduduk Kampung Padang Jawa di Shah Alam, Selangor telah berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan terjejas akibat banjir kilat pagi tadi.

Bagaimanapun, tinjauan RTM mendapati terdapat sebilangan kecil penduduk yang tidak berpindah ke PPS berikutan keadaan masih lagi terkawal.

Jelas penduduk, air masuk ke dalam rumah dengan laju dan hanya sempat menyelamatkan beberapa barang sahaja.

"Selepas 2021, ini yang paling teruk dan paling terkesan sekali. Saya mengharapkan projek-projek tebatan banjir dapat dipercepatkan dan kepada penduduk-penduduk yang terkesan diharap dapat bagi kerjasama supaya kita dapat manfaat dan kita tidak perlu tempuh lagi musibah seperti ini," kata Muhammad Syukri Kamarul Baharin.

"Saya perhati hujan lebat sampai pukul 4.00 pagi. Kemudian, reda sikit. Lebih kurang pukul 6.00 pagi, ada orang ketuk pintu cakap kereta sudah tenggelam. Kita pergi alih kereta. Kemudian, pukul 8.00 pagi itu, air makin deras. Maka, kami pun bawa keperluan dan selamatkan barangan yang penting," kata Zulaikha Zironi.

Penduduk terjejas banjir yang melanda daerah Petaling dan Klang, kini mencecah 1,000 orang dengan enam PPS dibuka.

Sementara itu, menurut Exco Pengurusan Bencana Selangor, Mohd Najwan Halimi, bagi daerah Petaling, PPS yang dibuka ialah Dewan Kenanga Seksyen 28 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Sekolah Kebangsaan Seksyen 16 dan  Dewan Camelia, Putra Heights.

Bagi daerah Klang, tiga PPS dibuka adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, Dewan Azalea, Taman Seri Muda dan Dewan Bunga Bakawali Seksyen 35.

Hujan lebat sejak kira-kira pukul 2.00 pagi tadi mengakibatkan berlaku banjir kilat di beberapa kawasan di negeri itu terutamanya daerah Petaling, Klang, Sepang, Hulu Langat dan Gombak.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM