fb fb fb fb fb

Banjir kilat: 1 PPS dibuka di Pokok Sena

Foto APM Kedah

POKOK SENA, 4 Oktober - 200 penduduk daripada 50 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna di sini selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat, petang semalam.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain dalam kenyataan memaklumkan, PPS berkenaan dibuka pada pukul 11 malam tadi.

"Tiga mukim terjejas iaitu Mukim Gajah Mati, Mukim Tualang dan Mukim Derang melibatkan Taman Puteri, Kampung Sungai Durian, Kampung Temusu, dan Kampung Pulau Nyor," katanya.

Sementara itu, tiga sungai di Kedah telah melebihi paras bahaya.

Setakat pukul 6.30 pagi tadi, Sungai Nawa di Kampung Pokok Sena Lama mencatatkan paras air 10.54 meter melebihi paras bahaya 10.39 meter.

Sungai Chepir di Titi Pekan Sik pula merekodkan 36.69 meter melebihi paras bahaya 36.55 meter.

Sementara itu, Sungai Ketil di Kampung Bongor, Baling mencatatkan 60.1 meter melebihi paras bahaya, 60 meter.

Bagaimanapun paras air di ketiga-tiga sungai berkenaan telah menunjukkan trend penurunan pagi ini.

Dalam pada itu, paras air di Sungai Muda, Ampang Jajar, Kuala Muda berada pada paras 2.84 meter, melebihi paras amaran 2.75 meter.

Dua lagi sungai iaitu Sungai Bata di Kubang Pasu dan Sungai Naka, Padang Terap berada pada tahap waspada dan menunjukkan trend menaik.

Selain Pokok Sena, beberapa kawasan di Kedah termasuk Padang Terap, Kubang Pasu, dan Sik dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat selama beberapa jam bermula pukul 2 petang semalam.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN