SARAWAK, 18 Febuari- Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di Sarawak telah ditutup sepenuhnya tengah hari tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN), tiga PPS di Kuching itu dibuka sejak 16 Februari lepas berikutan bencana banjir.
PPS Dewan R-Piang Kampung Sinar Budi, PPS Dewan Masyarakat Stapok dan PPS Dewan Serbaguna Taman Malihah ditutup antara pukul 1.00 hingga 1:30 tengah hari tadi.
Kesemua 413 penduduk daripada 107 keluarga yang berlindung di PPS berkenaan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing di Kampung Sinar Budi Baru, Kampung Desa Wira Ria dan Taman Malihah Fasa 1.
Namun, PPS Balai Raya Kampung Assyakirin di Bintulu yang dibuka sejak 18 Januari lalu masih beroperasi.
Ia menempatkan seramai 16 penduduk daripada lima keluarga yang terjejas akibat bencana ribut.