fb fb fb fb fb

Banjir di Kedah, Perlis jejas tanaman padi rugi RM40 juta

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu

ALOR SETAR, 30 September – Banjir yang melanda kawasan jelapang padi seluas kira-kira 6,000 hektar di Kedah dan Perlis menyebabkan kerugian dianggarkan mencecah RM40 juta.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kerajaan akan menyediakan bantuan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) bagi mengurangkan beban kerugian yang ditanggung oleh pesawah.

Bersimpati dengan nasib pesawah terjejas, beliau menegaskan bahawa bantuan TBTP akan disalurkan secepat mungkin.

"Mereka menuai padi pada awal bulan September hingga pertengahan bulan September kerana dijangka banjir akan berlaku pada bulan Oktober. Namun, banjir diawalkan dan menyebabkan padi tenggelam.

"Ini bukan kesalahan mereka, dan ini adalah satu malapetaka. Kerajaan akan cuba beri bantuan sekadar yang mampu," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan sempena program Sentuhan MADANI hari ini.

Tambahnya, kadar bantuan tersebut akan bergantung kepada usia padi, dengan anggaran nilai bantuan antara RM876 hingga RM1,800 bagi setiap hektar.

Pesawah yang terjejas layak memohon bantuan untuk keluasan maksimum sehingga tiga hektar.

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) turut menganggarkan bahawa kerugian setakat ini melibatkan kira-kira 1,500 pesawah dengan nilai kerugian mencecah RM40 juta.

Sementara itu, salah seorang pesawah, Mohamad Zamri Mad, yang turut terjejas menyatakan harapan agar bantuan disalurkan segera.

"Terima kasih kepada kerajaan MADANI yang memberi sumbangan hari ini. Kami terjejas teruk dan berharap kerajaan dapat bantu dengan segera," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN