
SEOUL, 23 Julai – Pasukan penyiasat Korea Selatan menggempur pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan (NEC) pada Khamis selepas mengesan bahawa pegawainya telah memalsukan angka kehadiran pengundi dalam pilihan raya tempatan, bulan lalu.
- Pegawai NEC dan Suruhanjaya Pilihan Raya Wilayah Gyeonggi disyaki memasukkan angka kehadiran pengundi palsu semasa pilihan raya tempatan.
- Isu timbul selepas puluhan pusat undi menghadapi kekurangan kertas undi pada pilihan raya kebangsaan 3 Jun.
- Kontroversi menyebabkan peletakan jawatan Ketua NEC Roh Tae-ak dan demonstrasi menuntut pilihan raya ulangan.
Jurucakap pasukan penyiasat mengesahkan satu pasukan khas terdiri daripada polis dan pendakwa raya telah menggeledah termasuk menyita pejabat terbabit.
Tindakan itu juga dilakukan ke atas beberapa pihak lain yang dipercayai turut terlibat dalam skandal pemalsuan data.
“Kami telah menemui petunjuk bahawa pegawai daripada NEC dan Suruhanjaya Pilihan Raya Wilayah Gyeonggi memasukkan angka kehadiran pengundi yang palsu semasa pilihan raya tempatan lalu,” kata jurucakap berkenaan.
Isu tersebut timbul selepas puluhan pusat pembuangan undi mengalami krisis kekurangan kertas undi yang luar biasa pada pilihan raya peringkat kebangsaan 3 Jun lalu iaitu pilihan raya pertama sejak Presiden Lee Jae Myung memegang jawatan tahun lalu.
Kontroversi berkenaan sebelum ini telah mencetuskan peletakan jawatan Ketua NEC, Roh Tae-ak, selain mencetuskan siri demonstrasi yang menuntut agar pilihan raya ulangan diadakan.- AFP