Malaysia berhak pertahankan kedaulatan, undang-undang dan dasar luar

Peguam Kanan, Mantan Senator dan Ahli Parlimen Malaysia, Mohd Yusmadi Yusoff / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Malaysia berhak mempertahankan kedaulatan negara, undang-undang serta dasar luar tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mohd Yusmadi gesa jawapan tegas dan berfakta terhadap kenyataan anggota Kongres AS mengenai pendirian Malaysia tentang warga Israel.
  • Pendirian Malaysia terhadap Israel tidak sama dengan permusuhan terhadap masyarakat atau agama Yahudi; bezakan identiti Yahudi dan kewarganegaraan.
  • Malaysia menolak sebarang kebencian berasaskan agama atau kaum termasuk antisemitisme dan Islamofobia, sambil konsisten menentang penindasan terhadap Palestin.
  • Tindakan terhadap Network School di Johor berlandaskan undang-undang, imigresen dan pelesenan; tiada pelabur atau organisasi terkecuali daripada undang-undang Malaysia.

Peguam Kanan, Mantan Senator dan Ahli Parlimen Malaysia, Mohd Yusmadi Yusoff menegaskan kenyataan beberapa anggota Kongres Amerika Syarikat (AS) berhubung pendirian Malaysia terhadap warga Israel susulan siasatan ke atas operasi Network School di Forest City, Johor perlu dijawab secara tegas dan berfakta.

Mengulas mengenai tanggapan sesetengah pihak, beliau menjelaskan bahawa pendirian Malaysia terhadap Israel tidak boleh disamakan dengan permusuhan terhadap masyarakat atau agama Yahudi.

“Kewarganegaraan Israel dan identiti Yahudi merupakan dua perkara yang berbeza. Sebarang gambaran bahawa Malaysia sedang ‘mengusir orang Yahudi’ atau melaksanakan suatu ‘pembersihan’ adalah keterlaluan, mengelirukan dan tidak mencerminkan dasar sebenar Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu

Beliau memaklumkan, Malaysia sentiasa menolak sebarang bentuk kebencian berasaskan agama mahupun kaum, termasuk antisemitisme dan Islamofobia. Namun pada masa sama kekal konsisten menentang pencerobohan serta penindasan terhadap rakyat Palestin.

Menyentuh isu operasi Network School di Johor, beliau menekankan bahawa sebarang tindakan pihak berkuasa adalah berlandaskan proses undang-undang, pematuhan imigresen dan pelesenan perniagaan demi memelihara kedaulatan serta keselamatan negara.

“Tindakan terhadap mana-mana organisasi tidak seharusnya dibuat berdasarkan kaum atau agama. Namun, tiada pelabur, warga asing atau organisasi swasta boleh menganggap dirinya terkecuali daripada undang-undang Malaysia,” tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan ancaman untuk menyemak semula hubungan keselamatan dan ekonomi atau menggantung bantuan kepada Malaysia sebagai langkah diplomasi yang tidak membina.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk ahli Kongres AS agar menghentikan retorik yang mengelirukan dan mengutamakan dialog matang berasaskan prinsip saling menghormati antara dua negara sahabat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.