Kedah tambah tukun tiruan pulih stok ikan, halang pukat tunda

Proses melabuhkan tukun konservasi dasar lembut / Foto FB Pejabat Perikanan Negeri Kedah

LANGKAWI, 23 Julai – Jabatan Perikanan Negeri Kedah melabuhkan 18 unit tukun konservasi dasar lembut penghalang pukat tunda di perairan Pulau Payar sebagai usaha memulihkan sumber perikanan dan meningkatkan hasil tangkapan nelayan di negeri itu, melibatkan kos sebanyak RM465,100.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah tukun tiruan meningkat kepada 588 unit dengan kos keseluruhan RM10.98 juta.
  • Tukun mewujudkan habitat baharu, menyumbang limpahan sumber perikanan dan meningkatkan hasil tangkapan nelayan.
  • Jabatan menggalakkan kerjasama syarikat, menawarkan khidmat nasihat dan sokongan teknikal untuk memelihara sumber perikanan.
  • Tukun menghalang pencerobohan pukat tunda, kurangkan konflik nelayan dan buka peluang pendapatan kepada nelayan kecil.

Pengarahnya, Sukri Deris berkata, dengan pertambahan tukun baharu itu, jumlah keseluruhan tukun tiruan yang telah dilabuhkan di perairan Kedah sejak pelaksanaan program berkenaan kini meningkat kepada 588 unit dengan kos keseluruhan RM10.98 juta.

Katanya, kewujudan tukun tiruan akan mewujudkan habitat baharu hidupan marin, sekali gus memberi kesan limpahan sumber perikanan yang dapat dimanfaatkan nelayan di seluruh negeri.

“Kami menggalakkan mana-mana syarikat yang ingin bersama-sama memelihara sumber perikanan negara bekerjasama dengan Jabatan Perikanan. Jabatan sedia memberikan khidmat nasihat dan sokongan teknikal bagi menjayakan usaha tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada RTM selepas Program Melabuhkan Tukun Konservasi Dasar Lembut di perairan Pulau Payar di sini.

Setakat ini, tukun-tukun tiruan telah dilabuhkan di 12 lokasi di perairan Kedah, termasuk Pulau Payar, Kuala Teriang, Yan, Kuala Jerlun, Kuala Sala, Kuala Kuar, Pulau Tuba, Pulau Balar, Pulau Chepu dan Pulau Telor.

Beliau berkata, kawasan tukun tiruan berpotensi menjadi lokasi pembiakan dan perlindungan pelbagai spesies ikan komersial seperti kerapu, merah, jenahak, kaci, tebal bibir, delah, dengkis, tetanda, yu dan pari.

Langkah tersebut dilaksanakan susulan penurunan ketara pendaratan ikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Jelas beliau, disebabkan itu, pendaratan ikan di Kedah merosot daripada 140,866 tan metrik bernilai RM1.83 bilion pada 2022 kepada 104,314 tan metrik bernilai RM1.06 bilion pada 2024.

Beliau menambah, tukun tiruan bukan sahaja membantu meningkatkan sumber perikanan, malah menghalang pencerobohan nelayan pukat tunda, mengurangkan konflik antara nelayan tradisional dan komersial serta membuka lebih banyak peluang pendapatan kepada nelayan kecil.

Ketika ini, Kedah mempunyai 7,609 nelayan berdaftar yang beroperasi di 27 pangkalan perikanan menggunakan 3,738 vesel berlesen meliputi Zon A hingga Zon C2.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.