
JOHOR BAHRU, 23 Julai – Sistem pengangkutan rentas sempadan di Johor terus diperkukuh menerusi naiktaraf kemudahan kaunter tiket bas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru.
- Kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan sistem pengangkutan rentas sempadan berada pada tahap terbaik.
- Usaha itu meningkatkan kecekapan operasi dan memberi keselesaan kepada pengguna perkhidmatan bas di kompleks CIQ BSI.
- Lebih 60,000 pengembara menggunakan perkhidmatan bas awam di CIQ BSI setiap hari untuk ulang alik ke Johor Bahru dan Singapura.
Langkah itu selaras usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam di pintu masuk utama negara sekali gus melancarkan aliran pengembara yang menggunakan laluan tersebut setiap hari.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan sistem pengangkutan rentas sempadan sentiasa berada pada tahap terbaik.
Beliau berkata usaha yang dilakukan itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, malah memberi keselesaan kepada pengguna yang menggunakan perkhidmatan bas di kompleks CIQ BSI.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan tinjauan bagi memantau operasi semasa di kompleks berkenaan.
Selain mengenal pasti isu dan cabaran yang memerlukan tindakan serta penambahbaikan segera.
Berdasarkan rekod, lebih 60,000 pengembara menggunakan perkhidmatan bas awam di CIQ BSI, Johor Bahru setiap hari untuk perjalanan ulang alik ke Johor Bahru dan Singapura.