CYBERJAYA, 24 September- Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki akan mencadangkan kepada Peguam Negara supaya Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang ditahan polis semalam berhubung kes dadah direhatkan daripada menjalankan tugas sementara siasatan dijalankan.
Azam menjelaskan TPR berkenaan baharu sahaja melapor diri di SPRM sebagai pegawai pinjaman dari Jabatan Peguam Negara (AGC) dan insiden itu di luar jangka serta sudah disiasat polis.
"Saya akan berbincang dan mencadangkan supaya pegawai ini direhatkan sementara tanpa mengendalikan pendakwaan di mahkamah kerana beliau baru sahaja melapor diri," katanya selepas menghadiri Integrity and Leadership Day di Universiti Multimedia hari ini.
Mengenai proses tapisan kesihatan termasuk ujian saringan dadah, Azam berkata ia tertakluk kepada prosedur AGC memandangkan pegawai berkenaan masih berkhidmat di bawah jabatan tersebut.
"Sudah tentu, tapisan termasuk ujian saringan dadah dibuat kepada semua penjawat awam termasuk TPR itu. Ini adalah tindakan beliau sendiri jika mengambil dadah, sekiranya ada,” tambahnya.
Terdahulu, SPRM mengesahkan seorang TPR yang baharu melapor diri minggu lalu ditahan polis selepas pemeriksaan di kediamannya menemukan bahan terlarang disyaki dadah untuk siasatan lanjut.