fb fb fb fb fb

Awas jangan terpedaya promosi rawatan alternatif HFMD

(Awas jangan terpedaya promosi rawatan alternatif penyakit HFMD/Foto fail)

KUANTAN, 13 Mei - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menasihati ibu bapa agar tidak terpedaya dengan promosi rawatan alternatif bagi menyembuhkan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus menerusi satu kenyataan berkata, ibu bapa perlu mendapatkan nasihat yang sahih daripada pegawai perubatan dan anggota kesihatan.

Menurutnya, pada kebiasaan jangkitan adalah ringan dan tiada rawatan khusus atau rawatan alternatif untuk merawat jangkitan HFMD.

Sebaliknya rawatan diberikan hanya untuk mengurangkan gejala yang dialami pesakit.

(Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus)

"Pesakit dinasihatkan supaya minum banyak air kosong untuk mengelakkan dehidrasi sepanjang tempoh jangkitan, mendapatkan rehat secukupnya serta mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang," menurut kenyataan itu.

Berdasarkan pemantauan, trend kes HFMD pada minggu ini masih menunjukkan peningkatan, malah trend ini dijangka terus meningkat sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diambil oleh ibu bapa dan pengusaha taska, tadika dan prasekolah.

Sehingga semalam, sebanyak 1,288 kes HFMD dilaporkan di Pahang dengan peningkatan sebanyak 6 kali ganda berbanding hanya 200 kes pada tempoh yang sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,150 adalah kes sporadik.

Manakala, 138 kes dikenal pasti hasil daripada penularan yang berlaku di 27 buah taska, tadika dan prasekolah di seluruh negeri Pahang.

Setakat ini tiada penutupan premis dibuat berdasarkan penilaian risiko oleh Pejabat Kesihatan Daerah.

Media Baharu