(Datuk Seri Hishammuddin dan Datuk Seri Wan Rosdy ketika melihat aset yang diserahkan kepada
kerajaan negeri Pahang sebagai langkah kesiapsiagaan ATM mendepani bencana banjir/BERNAMA)
KUANTAN, 18 Oktober- Lebih 4,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan ditugaskan sebagai pasukan bertindak pertama dalam misi menyelamat dan memindahkan penduduk terjejas banjir di seluruh negara.
Mereka akan digerakkan pada bila-bila masa atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), ke 5,496 lokasi yang dikenal pasti berisiko banjir termasuk ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 berlangsung.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sejak September lalu, pihaknya telah mengeluarkan arahan bersiap siaga kepada anggotanya menerusi Operasi Murni (OP Murni) bagi mendepani jangkaan negara mengalami hujan lebat berterusan yang berisiko banjir besar.
"ATM telah bersedia mengatur gerak anggota dan aset pada bila-bila masa terutama ke 5,496 lokasi berisiko banjir yang telahpun dikenal pasti di seluruh negara.
"Bagi penugasan anggota setakat ini melibatkan 15,830 anggota lain lain pangkat. Ini tak termasuk pegawai-pegawai yang telahpun diberi arahan. Daripada jumlah berkenaan kira-kira 146 pegawai dan 4,155 anggota lain lain pangkat akan berperanan sebagai pasukan berindak pertama," kata Hishammuddin di Majlis Penyerahan Aset Banjir kepada Kerajaan Negeri Pahang dan Aset Kenderaan kepada Tentera Darat Malaysia (TDM) di Pangkalan Udara Kuantan, di sini.
Menurut beliau, persiapan kali ini juga menmokuskan pusat perubatan ATM dan mengatur gerak pasukan perubatan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Bagi penugasan jentera pula, ribuan aset ATM merangkumi perairan dan darat turut dalam keadaan siap siaga untuk diaturgerakkan.
ATM tambah beliau masih berkeupayaan tinggi untuk menambah bilangan anggota dan aset pada bila-bila masa mengikut arahan MKN.
(Datuk Seri Hishammuddin sidang media pada Majlis Penyerahan Aset Banjir kepada Kerajaan
Pahang sebagai langkah kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia/BERNAMA)