fb fb fb fb fb

Asia Tenggara kekal zon bebas senjata nuklear

Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 8 Julai -Asia Tenggara kekal sebagai satu-satunya zon bebas senjata nuklear di dunia yang masih belum diiktiraf secara rasmi oleh negara-negara pemilik senjata nuklear (NWS).

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, situasi itu amat membimbangkan susulan negara yang mempunyai kuasa-kuasa nuklear masih belum menunjukkan komitmen terhadap pengiktirafan rasmi zon tersebut khususnya dalam menandatangani dan mengesahkan menerusi Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ)SEANWFZ.

"Kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan perjanjian ini bukan sekadar dokumen undang-undang, tetapi menjadi satu komitmen yang hidup dan dinamik.

"Ia seharusnya menyumbang secara bermakna kepada usaha perlucutan senjata nuklear di peringkat serantau dan global, selaras dengan ancaman wujudiah terhadap kemanusiaan yang dibawa oleh senjata nuklear," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan selaku pengerusi Mesyuarat Suruhanjaya SEANWFZ, yang berlangsung sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ibu negara.

ASEAN perlu terus bekerjasama dalam membina prasyarat yang diperlukan agar kuasa-kuasa nuklear bersedia mengambil langkah untuk menandatangani dan mengesahkan protokol SEANWFZ.

Ia termasuk memberikan respons secara konstruktif dan segera, serta menyelesaikan isu-isu tertunggak mengikut prinsip dan objektif perjanjian.

Datuk Seri Mohamad turut menyeru semua negara anggota ASEAN agar kekal bersatu dalam usaha merealisasikan impian menjadikan Asia Tenggara bebas daripada sebarang bentuk senjata nuklear.

Sementara itu, beliau berkata meskipun protokol perjanjian SEANWFZ masih belum ditandatangani, ASEAN telah mencatat kemajuan ketara dalam memajukan penggunaan aman teknologi nuklear untuk tujuan damai.

Khususnya melalui kerjasama berterusan bersama Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam bidang pertanian, diagnostik perubatan, teknologi makanan, dan lain-lain.

Perkara itu sekali gus memperlihatkan komitment blok ASEAN dalam memanfaatkan aplikasi sains nuklear bagi tujuan awam secara aman.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI