KUALA LUMPUR, 31 Oktober- Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN tahun hadapan berpotensi memainkan peranan penting dalam menetapkan arah penyelesaian isu di Myanmar.
Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Sufian Jusoh berkata pengalaman negara dalam berurusan dengan pelbagai pihak dan parti di negara itu, memberikan pemahaman yang mendalam mengenai kerumitan isu tersebut.
"Sekarang adalah masa bagi Malaysia untuk fokus ke Myanmar kerana kita memainkan peranan penting dalam peralihan dari kerajaan tentera kepada kerajaan NLD melalui proses pilihan raya. Pengalaman kita dalam berurusan dengan pelbagai pihak memberi kita pemahaman mengenai kerumitan isu tersebut.
Malaysia dapat memainkan peranan besar di sini untuk membina konsensus dan bergerak ke arah democratization serta pilihan raya untuk memberi legitimasi kepada kerajaan seterusnya," kata Dr. Sufian.
Beliau berkata demikian semasa menjadi tetamu di program 'On The Table' di Angkasapuri.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa krisis di Myanmar adalah kompleks dan memerlukan ketelitian dan masa untuk diselesaikan.