MADINAH, 9 Jun - Arab Saudi mempergiatkan lagi usaha pelaksanaan Pelan Operasi Haji 2023 yang telah dimulakan sejak penghujung Mei lepas, sejajar dengan jangkaan kedatangan dua juta jemaah haji tahun ini.
Sehubungan itu, Persatuan Am Khidmat Kenderaan Arab Saudi mengumumkan telah menyediakan kira-kira 18,000 buah bas dan 25,000 pemandu dalam persediaannya memenuhi keperluan pengangkutan jemaah haji musim ini.
Dalam kenyataan kepada Agensi Berita Arab Saudi (SPA), Pengarah cawangan persatuan itu di Madinah, Ir. Mazen Tharwat berkata penghantaran pertama jemaah antarabangsa yang tiba di Madinah dan menuju Makkah telah bermula pada 6 Zulhijjah (26 Mei), dengan 26 buah bas.
"Jumlah ini terus meningkat. Statistik setakat Rabu menunjukkan kira-kira 700 bas telah digerakkan untuk membawa lebih 30,000 jemaah ke Makkah", katanya.
Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, pada awal tahun ini mengumumkan bahawa negara itu bersedia menerima dua juta jemaah pada musim haji tahun ini, lapor SPA.
Kluster Kesihatan Madinah pada semalam dilaporkan turut meningkatkan kapasiti katil pesakit di pusat rawatan King Salman bin Abdulaziz Medical City dan Hospital King Fahad di sini kepada 22 peratus sebagai persiapan menghadapi peningkatan jumlah jemaah yang datang ke Madinah tahun ini.
Prasarana kesihatan di Madinah bagi musim haji kali ini meliputi sembilan hospital besar, masing-masing tiga pusat rawatan kecemasan, pusat pengendalian kesihatan di pelabuhan-pelabuhan utama, pusat kesihatan bermusim dan pasukan medik bergerak untuk menyantuni jemaah haji.
(FOTO FAIL)
Sementara itu, Perbandaran Madinah menyatakan lebih 9,900 petugas telah digerakkan bagi membantu mengawal kualiti dan keselamatan makanan selain memastikan tahap kebersihan dan sanitasi berada pada tahap tertinggi.
Ia termasuk memantau operasi pasar awam, pusat komersial, kafe, restoran dan dapur katering.
Statistik terbaharu yang dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menunjukkan sejumlah 434,980 jemaah haji pelbagai kewarganegaraan sudah memasuki Madinah setakat 7 Jun, menerusi laluan udara dan darat untuk melaksanakan ibadah haji tahun ini. - BERNAMA