SEPANG, 1 Julai– Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan prestasi perkhidmatan Aerotrain di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lebih baik berbanding dahulu.
Beliau merasai sendiri pengalaman menaiki tren tersebut yang beroperasi semula hari ini setelah dihentikan untuk kerja penyelenggaraan dan naik taraf sistem.
"(Aerotrain) amat baik, lebih laju berbanding dahulu," katanya ringkas ketika ditemui media di sini.
Beliau turut memuji usaha Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam memastikan perkhidmatan pengangkutan itu kembali berfungsi dengan lebih baik dan efisien demi keselesaan penumpang.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar tiba di terminal itu pada pukul 1.00 tengah hari, diiringi Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani serta barisan pegawai kanan MAHB.
Perkhidmatan tren moden tanpa pemandu itu kembali beroperasi sepenuhnya selepas menjalani proses naik taraf bernilai RM456 juta.
Ia sebahagian inisiatif transformasi KLIA bertujuan memperkukuh kedudukannya sebagai hab penerbangan serantau bertaraf dunia.
Aerotrain yang menjadi ciri ikonik KLIA sejak pembukaannya pada 1998, kini dilengkapi set tren Alstom Innovia APM 300R.
Setiap tren tiga gerabak itu mampu memuatkan sehingga 270 penumpang dan bergerak pada kelajuan maksimum 56 kilometer sejam.
Sekali gus mengurangkan masa perjalanan antara terminal utama dan terminal satelit kepada kurang tiga minit.