fb fb fb fb fb

Anwar Ibrahim bermesyuarat dengan Google hari ini

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 6 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bermesyuarat secara dalam talian bersama syarikat teknologi gergasi, Google, hari ini.

Mesyuarat itu diadakan susulan pelabur melihat Malaysia kekal stabil dalam sektor politik, dasar yang jelas serta kecekapan penjawat awam dan syarikat kerajaan.

Anwar bagaimanapun tidak mendedahkan perincian mesyuarat berkenaan.

"Yang kita fokus adalah pertumbuhan ekonomi. Saya nampak memang ada minat pelabur asing semasa di Jerman dahulu dan minggu lalu Microsoft. Sebentar lagi, saya akan ada pertemuan secara maya dengan Google," kata Anwar kepada pemberita semasa Perhimpunan YAB Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi Bulan Mei Tahun 2024, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau turut berkongsi mengenai lawatan rasmi ke Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini, apabila negara berkenaan memberi komitmen pelaburan di Malaysia menerusi sektor tenaga boleh diperbaharui.

Selain itu, beliau turut memuji kecekapan Arab Saudi yang menyegerakan kelulusan pelaburan dan kecekapan itu menjadikan negara teluk berkenaan mampu melonjak lebih tinggi.

Dalam pada itu, setiap pemimpin dan ketua jabatan diminta untuk mengemukakan nama kampung jagaan masing-masing selewat-lewatnya pada minggu depan berhubung pelaksanaan Kampung Angkat MADANI.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan itu bagi memastikan kampung di bawah jagaan pemimpin terlibat dapat dikenal pasti setiap permasalahan agar diselesaikan sebaiknya.

"Setiap ketua pengarah atau ketua jabatan pilih kampung siap-siap. jangan tunggu tiga atau empat bulan, minggu depan boleh bagi nama kampung," tambah Anwar.

Usaha itu antara lain membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan kepada mereka di pedalaman termasuk dalam sektor kesihatan, pendidikan dan kos sara hidup.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM